Tang Jie-Ee Wei lanjut kemarau 60 tahun kejuaraan

Sukan

KUALA LUMPUR: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil kedua tersingkir selepas tewas kepada pasangan China pada aksi separuh akhir Terbuka Malaysia 2025, sebentar tadi.

Kekalahan itu juga gagal menamatkan kemarau 60 tahun negara apabila kali terakhir acara itu dimenangi oleh Teh Kew San-Ng Mei Ling pada 1965.

Beraksi di Axiata Arena, gandingan negara terpaksa tunduk kepada beregu No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-14 dalam masa 50 minit.

Tang Jie mengakui beliau bersama Ee Wei gagal memanfaatkan peluang yang disajikan susulan kehilangan banyak mata berharga sekali gus memberi laluan kemenangan kepada gandingan China itu.

Menurutnya, mereka kehilangan rentak permainan ketika mendahului 9-5 dan kemudian melakukan banyak kesilapan mudah sehingga Yan Zhe-Dong Ping mengutip mata satu per satu menjadikan keputusan 9-11.

“Saya rasa permulaan mata kesembilan itu bagus. Bagaimanapun, banyak mata yang kami hilang dan serangan kami tidak cukup baik.

“Strategi mereka sangat bagus dan terperinci untuk hari ini. Semasa serangan rali kami kurang untuk mengendalikannya. Saya rasa mental kami terganggu ketika itu,” kata Tang Jie kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.

Kekalahan tersebut itu juga melebarkan jurang rekod pertemuan mereka kepada 5-2 selepas kali terakhir tewas pada aksi separuh akhir China Masters pada November.

Biarpun mengecewakan ribuan penonton tanah air, kejayaan melangkah ke separuh akhir di pentas Terbuka Malaysia menjadi pencapaian terbaik mereka setakat ini.

Terdahulu, satu lagi pasangan campuran negara turut ditunjukkan jalan keluar selepas Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas kepada gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukoh-Supissara Paewsampran 21-17, 12-21, 16-21.

Tang Jie-Ee Wei selepas ini akan berlepas ke New Delhi bagi persediaan untuk Terbuka India pada Selasa depan untuk mengaturkan percaturan dengan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada aksi pusingan pertama. – UTUSAN