Derbi Lembah Klang, Fortes pastikan kemenangan milik Selangor

Sukan

PETALING JAYA: Jaringan tunggal Alvin Fortes membolehkan Selangor FC mengatasi Kuala Lumpur (KL) City bagi aksi derbi Lembah Klang dengan keputusan 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Faisal Halim diberi kepercayaan oleh pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi untuk mengetuai jentera serangan dalam kesebelasan utama.

Sementara, The City Boys terpaksa melupakan khidmat beberapa tonggak susulan kecederaan.

Begitupun, pasukan pelawat tetap memberi tentangan sengit dengan kedudukan 0-0 kekal selepas babak pertama tamat.

Bersambung babak kedua, Selangor yang begitu dambakan kemenangan meningkat intensiti serangan untuk mencari gol pembukaan.

Usaha berterusan skuad Gergasi Merah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-63 hasil tolakan mudah Fortes yang menyudahkan peluang terhidang di dalam kotak penalti KL City.

Pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan namun rembatan Jovan Motika ketika pintu gol sudah terbuka luas gagal menerjah jaring Selangor.

Keputusan itu menyaksikan Selangor meraih kemenangan ke-12 musim ini daripada 17 perlawanan yang diharungi untuk kekal di kedudukan kedua, dengan mengumpul 38 mata manakala JDT terus unggul pada kedudukan teratas apabila mengutip 49 mata.

Aksi seterusnya Selangor dalam saingan Liga Super adalah menentang Penang FC pada 25 Januari ini.-UTUSAN