KUALA LUMPUR: Industri sawit Malaysia merekodkan prestasi cemerlang pada 2024 berdasarkan kepada peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) serta lonjakan nilai eksport produk minyak sawit, menurut Menteri Perladangan dan Komoditi.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, purata harga MSM meningkat sebanyak 9.7 peratus kepada RM4,179.50 setiap tan sepenjang 2024 berbanding RM3,809.50 setiap tan dalam tempoh yang sama pada 2023.
Beliau berkata, purata bulanan dan harian harga MSM juga mencapai paras tertinggi masing-masing pada RM5,119.50 setiap tan pada Disember 2024 dan RM5,333.50 setiap tan pada 6 Disember 2024.
Jelas beliau, peningkatan itu secara signifikan melonjakkan jumlah hasil eksport produk minyak sawit sebanyak 15.1 peratus kepada RM109.3 bilion pada tahun lalu berbanding RM94.9 bilion tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit dari Januari hingga Disember 2024 meningkat kepada 26.66 juta tan berbanding 24.49 juta tan metrik dalam tempoh yang sama pada 2023.
“Ini mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus dengan perbezaan sebanyak 2.17 juta tan antara kedua tahun berkenaan.
“Antara enam pasaran eksport utama bagi produk minyak sawit Malaysia adalah India, China, Kesatuan Eropah (EU), Kenya, Turkiye dan Filipina dengan jumlah eksport sebanyak 8.57 juta tan atau 50.7 peratus daripada keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia,” katanya dalam Majlis Perasmian Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2025 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.
Dalam pada itu, Johari berkata, industri sawit Malaysia mempunyai masa depan yang cerah selaras dengan peningkatan populasi dunia dan permintaan global terhadap minyak sayuran yang semakin meningkat.
Jelasnya, bagi memenuhi permintaan itu, industri sawit Malaysia telah menghasilkan sebanyak 19.3 juta tan minyak sawit mentah pada 2024, meningkat sebanyak 4.2 peratus berbanding 18.55 juta tan pada 2023.
Johari berkata, prospek industri sawit di Malaysia akan kekal positif memandangkan keseimbangan bekalan dan permintaan yang stabil serta pemulihan yang dijangka daripada isu kekurangan tenaga kerja.
“Saya yakin bahawa industri sawit Malaysia mempunyai masa depan yang cerah seiring dengan pertumbuhan populasi dunia dan peningkatan permintaan global terhadap minyak sayuran.
“Prospek industri sawit di Malaysia kekal positif dengan kestabilan bekalan dan permintaan serta pemulihan yang dijangka daripada isu kekurangan tenaga kerja.
“Saya juga menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk turut serta secara aktif, berkongsi kebimbangan beserta penyelesaian dan mengambil tindakan yang tepat dalam memajukan industri sawit di peringkat nasional dan global,” katanya.
Johari berkata, dengan keluasan 5.62 juta hektar ladang kelapa sawit yang ditanam di Malaysia, penambahbaikan dalam amalan pertanian kekal sebagai elemen penting dalam strategi mampan negara.
Beliau berkata, inisiatif seperti pengurusan tanah lestari, teknik tanpa pembakaran dan langkah pemuliharaan tanah menonjolkan komitmen negara dalam memelihara kesihatan tanah dan biodiversiti.
Malah, katanya langkah menggalakkan inovasi sepanjang rantaian nilai minyak sawit membantu membangunkan produk dan proses yang mesra alam, sejajar dengan piawaian pasaran global dan permintaan pengguna terhadap minyak sawit yang diperoleh secara bertanggungjawab. – UTUSAN