Ryt Bank peroleh lesen perbankan digital

Perniagaan

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan memberikan lesen perbankan digital kepada YTL Digital Bank Bhd, yang merupakan kerjasama antara YTL Digital Capital Sdn Bhd dan Sea Limited.

Perbankan yang dinamakan sebagai Ryt Bank menjadi bank generasi baharu dan dijadual memulakan operasinya sejak 20 Disember lalu. Bagaimanapun, ia akan dilancar secara berperingkat kepada orang ramai bagi memastikan pelancaran tanpa gangguan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Melvin Ooi berkata, Ryt Bank disokong oleh YTL Capital dan Sea Limited bakal memainkan peranan membuat perubahan dalam perbankan di Malaysia termasuk mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Dengan memanfaatkan kuasa AI untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan, kami akan menawarkan perkhidmatan kewangan yang bermakna dan inklusif sambil membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan mereka,” katanya.

Jelasnya, platform itu akan menawarkan perkhidmatan yang dipermudah, termasuk Ryt AI, pembantu bank peribadi yang dijana oleh AI serta menyediakan laporan kewangan peribadi dan mengurus strategi simpanan yang terkehadapan.

Bank itu juga bertujuan untuk mendemokrasikan perbankan dan memenuhi keperluan 15 peratus daripada populasi Malaysia yang masih kurang mendapat perkhidmatan.

Ryt Bank dijangka dilancarkan kepada orang ramai dalam beberapa bulan akan datang. – UTUSAN