Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff dilantik Ahli Lembaga Pengarah SC

Perniagaan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan pelantikan Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff sebagai Ahli Lembaga Pengarah untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa hari ini.

Dilantik oleh Menteri Kewangan, Lembaga Pengarah SC bertanggungjawab untuk memantau keseluruhan tadbir urus SC dan mempunyai pengawasan terhadap mandat kawal selia dan pembangunannya.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pengalaman luas Nik Mohd.Hasyudeen dalam industri, kawal selia dan antarabangsa akan membantu mengukuhkan Lembaga Pengarah SC dalam melaksanakan dua mandatnya.

“Dengan lebih 30 tahun pengalaman, beliau telah memegang peranan kepimpinan dalam pelbagai organisasi,” katanya dalam kenyataan.

Nik Mohd. Hasyudeen kini menganggotai lembaga pengarah Program Felo Perdana, Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Pengarah Eksekutif SC yang bertanggungjawab dalam Penyeliaan Pasaran dan Korporat dan Pengerusi Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit.

Beliau juga merupakan Presiden Institut Akauntan Malaysia, ahli Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia dan sebahagian daripada Lembaga dan Jawatankuasa Strategi Gabungan Akauntan Asia dan Pasifik.

Nik Mohd. Hasyudeen juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

Beliau memegang ijazah dalam Perniagaan dari Universiti Teknologi Curtin, Perth, Australia Barat. – UTUSAN