KLANG: Berjaya Group berminat untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam konsortium bagi membida Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura.
Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan berkata, beliau lebih tertarik untuk mencari rakan kongsi tempatan berbanding pemain asing.
“Saya lebih suka (prefer) konsortium tempatan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai bakal rakan kongsi projek HSR dalam lawatannya di Pulau Ketam, di sini semalam.
Sebelum ini, dalam satu laporan portal, Vincent menjelaskan, Berjaya Group mencari rakan kongsi baharu sementara mereka meneruskan bidaan untuk projek HSR bernilai berbilion dolar yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, berikutan penarikan diri Malaysian Resources Corp Bhd. (MRCB) daripada konsortium mereka.
Vincent yang mengesahkan perkembangan ini memaklumkan, sebagai konsortium, pihaknya telah mengemukakan cadangan rakan kongsi untuk projek ini.
Pada masa ini, konsortium tersebut merangkumi Berjaya Land Bhd memiliki 70 peratus kepentingan dalam Berjaya Rail Sdn. Bhd., Keretapi Tanah Melayu Bhd yang dimiliki oleh kerajaan, IJM Corp Bhd serta rakan teknikal Deutsche Bahn, Hitachi Rail dan Hyundai Rotem.
Mengulas mengenai projek tersebut, beliau berkata, kerajaan perlu menimbangkan perkara itu sebelum dilaksanakan.
“Terpulang kepada kerajaan, mereka yang bertanggungjawab. Jika keluar belanja agak besar (banyak) akan menyusahkan kewangan negara.
“Bagaimanapun, saya memuji pihak kerajaan kerana mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan HSR dilaksanakan kelak berjalan lancar.
“Kerajaan (ini) bertanggungjawab. Mereka mahu meneliti dengan baik. Tengok (lihat) sama ada (HSR) keperluan kepada negara atau sebaliknya,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, HSR Kuala Lumpur-Singapura boleh dihidupkan semula sekiranya terdapat penyertaan sepenuhnya daripada sektor swasta, dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta kerana peruntukan perbelanjaan kerajaan mempunyai hadnya dan ketika ini masih menunggu cadangan yang berpotensi.
Dalam lawatan itu, Vincent Tan turut menyumbangkan sebanyak RM250,000 untuk membantu tiga sekolah tempatan dan lima rumah berhala di Pulau Ketam bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
“Ini merupakan satu kegembiraan besar untuk berada di sini buat kali pertama di Pulau Ketam.
“Saya berbesar hati untuk membuat sumbangan ini dengan harapan ia akan menyokong pertumbuhan berterusan sekolah-sekolah tempatan, membantu persatuan masyarakat dan meningkatkan kesejahteraan penduduk warga emas di sini.
“Pendidikan adalah asas penting untuk masa depan yang makmur, dan bersama-sama kita dapat membantu mewujudkan komuniti yang lebih kuat dan lebih bersatu,” katanya. – UTUSAN