Tang Jie-Ee Wei ketuai dua beregu campuran ke pusingan kedua

Sukan

PETALING JAYA: Tiga wakil beregu campuran negara masing-masing menempah slot ke pusingan kedua Indonesia Masters 2025 apabila menewaskan lawan mereka, hari ini.

Beregu No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan apabila mudah membenam pasangan Perancis, Julien Maio-Lea Palermo 21-14, 21-17 dalam masa 34 minit.

Selaku pilihan utama kejohanan, mereka dijadualkan bertemu dengan pasangan tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu di pusingan kedua pada pukul 11 pagi esok.

HOO Pang Ron-Cheng Su Yin

Sementara itu, beregu campuran sensasi negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin berjaya menamatkan badi selepas menewaskan pasangan Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan, 14-21, 17-21.

Pang Ron-Su Yin sebelum ini tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia dan India, baru-baru ini.

Pasangan negara seterusnya akan bertemu dengan beregu India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto pada aksi pusingan kedua, esok.

GOH Soon Huat-Shevon Lai

Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai juga mudah melepasi halangan tuan rumah apabila mengetepikan Dejan Ferdinansyah-Siti Ramadhanti 16-21, 15-21.

Pasangan No. 4 dunia itu seterusnya akan bertemu satu lagi pasangan Indonesia, Marwan Faza-Aisyah Pranata di aksi pusingan kedua pada pukul 12 tengah hari esok.

Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien

Kisahnya berbeza untuk satu lagi beregu profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien apabila gagal melepas pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito selepas tewas straight set, 13-21, 15-21. – UTUSAN