Kertas siasatan berkaitan KJ dirujuk kepada Peguam Negara

Politik

PETALING JAYA: Kertas siasatan berkaitan kes Titah Adendum membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 15 Januari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun kertas siasatan terbabit dikembalikan semula kepada pihaknya bagi menunggu laporan forensik.

“Kertas siasatan dikembalikan semula bagi menunggu laporan forensik yang masih belum siap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Pada 13 Januari lalu, media melaporkan Razarudin mengesahkan Khairy diambil keterangan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pada 3 petang ini pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara.

Beliau dilapor berkata, pihaknya menerima dua laporan dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan  Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998. 

Ini susulan laporan polis dibuat Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman terhadap Khairy Jamaluddin di Balai Polis Sentul.

Terdahulu, Khairy menerusi siaran audio siar ‘Keluar Sekejap’  mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Khairy turut mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.- UTUSAN