KL City tunduk di laman sendiri

Sukan

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila tewas 2-3 kepada Cong An Ha Noi FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyukarkan The City Boys untuk menempah slot ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN.

Turun dengan misi wajib menang, KL City terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan Cong An Ha Noi yang diledak pemain kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai pada minit ke-10.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Miroslav Kuljanac bangkit memburu gol penyamaan dan usaha keras mereka berhasil pada minit ke-24 apabila Adrijan Rudovic menanduk masuk bola sepakan sudut Paulo Josue.

Lapan minit kemudian, giliran Josue meletakkan pasukannya di depan apabila kapten City Boys itu menanduk bola hantaran Jovan Motika untuk menewaskan penjaga gol Cong An Ha Noi, Nguyen Filip buat kali kedua untuk kedudukan 2-1 kekal hingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, tandukan Bui Hoang Viet Anh yang menyambut bola sepakan sudut Quang Hai berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67.

Jaringan itu membuat KL City sedikit tergugat dan lebih malang mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Kamal Azizi Mohamad Zabri dilayangkan kad merah pada minit ke-76 susulan tindakannya menendang Nguyen Dinh Bac.

Ketika perlawanan berbaki dua minit, giliran Josue pula dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan.

Pelawat mengambil kesempatan menentang sembila orang pemain dengan meledak gol kemenangan menerusi
Le Van Do pada masa kecederaan.

Keputusan itu menyaksikan Cong An Ha Noi kekal di kedudukan teratas Kumpulan B dengan mengumpul 12 mata, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Sementara itu, KL City pula berada di kedudukan keempat dengan menghimpun enam mata dan perlu menewaskan pasukan tangga kedua, Buriram United dalam aksi terakhir di gelanggang lawan, 6 Februari ini jika berhasrat mara ke separuh akhir.-UTUSAN