KLANG: Masyarakat digesa menghakis persepsi kepemimpinan wanita sebagai penumpang sebaliknya golongan itu mampu menjadi pemimpin dan memberi cerminan kepada masyarakat maju, kuat mental dan kental.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kemampuan golongan tersebut boleh dilihat pada semangat dan keberanian wanita di Gaza, Palestin yang berubah langkah dan peranan daripada fungsinya sebagai ibu dan pengasuh kepada srikandi.
“Kepimpinan wanita tidak terjadi sebagai penumpang atau sekadar pengisi ruang secara kebetulan. Kita wanita adalah memimpin kerana dirancang untuk memimpin.
“Profesor Violet Eudine Barriteau menegaskan kepimpinan wanita berlalu apabila dan di mana sahaja wanita menggunakan kuasa membuat keputusan, memberi pengaruh atau menggunakan kapasiti untuk mengubah hasil atau memulakan aktiviti bagi pihak lain,” katanya ketika berucap pada pidato Konvensyen AWAN 2024, hari ini.
Pada konvensyen tersebut, seramai 551 perwakilan dari seluruh negara hadir bagi mendengar perbahasan dan meluluskan resolusi.
Tambah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, kerajaan perlu membentangkan pelan jelas dan mekanisme tidak berselindung untuk menjayakan dasar minimum 30 peratus di peringkat pembuatan keputusan politik.
“Bahkan angka 30 peratus itu sudah tidak relevan dan seharusnya lebih besar berbanding fakta angka wanita di peringkat pengajian tinggi dan kerjaya lain.
“Kerajaan tidak boleh sekadar menyerahkan urusan penting itu kepada parti politik semata-mata, sebaliknya kita menuntut ada undang-undang dan peraturan, serta insentif ke arah itu. Logiknya, hari ini graduan wanita di peringkat pengajian tinggi cukup ramai untuk dimanfaatkan.
“Mereka adalah aset negara, termasuk dalam bidang kepimpinan politik. Sudah lebih daripada 30 tahun, kita asyik menggunakan cara yang sama namun ironinya mengidamkan hasil yang berbeza,” tegasnya.
Kata Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang itu lagi, dalam Amanah, sebanyak 26 peratus wanita diletakkan sebagai calon pada pilihan raya lalu dan menyeru kepemimpinan parti supaya angka tersebut ditingkatkan. – UTUSAN