LONDON: Kumpulan Pierer Mobility (PMG) telah mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mereka, Stefan Pierer akan meletakkan jawatannya.
Pierer juga akan meninggalkan jawatannya sebagai CEO KTM AG, dan akan menjadi CEO bersama Gottfried Neumeister, yang menyertai struktur pengurusan PMG pada tahun lalu.
“Stefan Pierer akan menyerahkan peranannya sebagai CEO Pierer Mobility AG dan KTM AG kepada Gottfried Neumeister malah Pierer akan membantu Neumeister semasa proses penstrukturan semula,” kata PMG dalam satu kenyataan.
Selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai CEO, Pierer mengakui KTM bukan sekadar sebuah syarikat sebaliknya sudah menganggap ia sebahagian daripada keluarganya.
“Keputusan untuk menyerahkan tampuk kepimpinan ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Saya sangat yakin bahawa Gottfried Neumeister, dengan pandangan strategiknya dan komitmennya, adalah pilihan yang tepat untuk memimpin KTM ke masa depan,” kata Pierer.
Berita mengenai perubahan CEO KTM dan PMG sudah hampir setahun sebelum tempoh Pierer sebagai CEO berakhir pada 31 Disember ini.
Selain itu, ia berlaku ketika krisis kewangan melanda KTM AG yang telah memulakan prosiding kebankrapan dan kini masih berterusan dalam usaha untuk mengelak daripada muflis.
Sejak diumumkan bahawa KTM akan memasuki prosiding pentadbiran pada hujung tahun lalu, langkah-langkah telah diambil dalam syarikat untuk mengurangkan kos.
Sebahagian daripadanya termasuk mengurangkan saiz tenaga kerja di mana menurut kenyataan PMG mengumumkan perubahan CEO telah mengurangkan 1,800 pekerja. – AGENSI