Adakah Bersih hanya untuk jatuhkan BN? – Dominic Lau

Politik

KUALA LUMPUR: Gerakan Gabungan Pilihan Raya dan Bersih (Bersih) kini seperti kehilangan hala tuju dan gagal mempertahankan perjuangan asalnya.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dominic Lau Hoe Chai, berkata, gerakan tersebut kini tidak lagi ‘seaktif’ semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Bersih pada awalnya memperjuangkan keadilan dalam pilihan raya dan menuntut ketelusan.

“Namun kini, perjuangan itu seolah-olah berubah arah dan lebih memihak kepada agenda tertentu.

“Adakah tujuan Bersih dahulu hanya untuk menjatuhkan BN? Selepas jatuh terus senyap” soalnya semasa sidang akhbar di Menara Parti Gerakan Rakyat (PGRM), Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah Dominic, Bersih perlu kembali kepada asas perjuangannya untuk memastikan ia terus mendapat kepercayaan rakyat tanpa mengira ideologi politik.

“Bersih perlu ada hala tuju yang jelas. Mereka mesti bertindak dengan adil dan tidak berat sebelah jika mahu menjadi suara rakyat yang sebenar,” jelasnya.

Dominic berkata, kegagalan Bersih untuk mengekalkan prinsip perjuangannya akan mencetuskan keraguan terhadap kredibiliti gerakan tersebut.