TNG Digital perkenal ciri baharu, SOS Balance

Perniagaan

PETALING JAYA: TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi TNG eWallet iaitu SOS Balance, bagi memastikan pengguna yang tidak mempunyai baki mencukupi masih dapat melalui plaza tol.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, pelancaran SOS Balance adalah bukti komitmen mereka dalam menyediakan inovasi yang berfokuskan pengguna,  memudahkan dan meningkatkan kehidupan harian rakyat Malaysia. 

Katanya, dengan mengatasi cabaran yang biasa dihadapi di plaza tol, ciri ini memastikan pengalaman tanpa tunai yang lancar, sejajar dengan matlamat transformasi digital Malaysia. 

“Selain memberi kemudahan, ia mengurangkan kelewatan di plaza tol, mengurangkan kesesakan trafik, dan meningkatkan kecekapan operasi lebuh raya. 

“Di TNG Digital, kami berusaha untuk menetapkan piawaian penyelesaian kewangan yang inovatif, yang menggabungkan nilai, kemudahan, dan impak,” katanya dalam kenyataan. 

SOS Balance diperkenalkan kepada pengguna eWallet TNG terpilih secara percuma, yang memberikan mereka tempoh 24 jam untuk menambah nilai eWallet dan menyelesaikan sebarang caj tol tertunggak.

Jelas beliau, ciri inovatif ini membolehkan pengguna yang layak untuk melalui tol meskipun baki tidak mencukupi, dengan memberikan tempoh grace 24 jam untuk menambah nilai semula eWallet mereka dan menyelesaikan baki yang tertunggak. 

“Pengguna perlu menyelesaikan bayaran dalam tempoh tersebut untuk terus menikmati semua ciri eWallet yang lengkap.

“Ciri ini memberi manfaat kepada pengguna dan pengendali lebuh raya dengan menstreamline aliran kerja kutipan tol dan mengurangkan masa transaksi. SOS Balance meningkatkan aliran trafik, mengoptimumkan kecekapan operasi, dan mengurangkan campur tangan manual.

“Peningkatan ini dapat meningkatkan kepuasan pelanggan dan berpotensi menggalakkan penggunaan lebuh raya yang lebih tinggi, sambil memberikan pengendali dan pengawal selia data tol masa nyata untuk membuat keputusan yang lebih baik,” katanya. 

SOS Balance tersedia di lebuh raya yang menyokong RFID dan PayDirect, dengan liputan semasa merangkumi 31 daripada 33 lebuh raya di Semenanjung Malaysia. 

TNG Digital komited untuk memperluaskan liputan dan memperkenalkan ciri ini kepada aplikasi lain selain pembayaran tol pada masa depan.

SOS Balance menunjukkan komitmen TNG Digital untuk memodenkan infrastruktur melalui inovasi yang menyelesaikan cabaran dunia sebenar sambil menawarkan penyelesaian praktikal tanpa kos untuk rakyat. 

Pengguna digalakkan untuk aktif menggunakan TNG eWallet mereka untuk membuka dan menikmati manfaat ciri ini. – UTUSAN