PETALING JAYA: Tanpa kelibat bintang-bintang utama, skuad negara akan diketuai beregu senior yang menghuni ranking No. 4 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025, 11-16 Februari ini di Qingdao, China.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan tidak menurunkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, Pearly Tan-M Thinaah, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Lee Zii Jia.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan BAM, semalam, selain Soon Huat-Shevon, Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran beregu campuran sedang meningkat naik yang kini menghuni ranking ke-18 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun (No. 13 dunia) dan Arif Junaidi-Yap Roy King (No. 20 dunia) akan menggalas cabaran bagi beregu lelaki, manakala, perseorangan lelaki digalas oleh Leong Jun Hao ( No. 27 dunia) serta Justin Hoh (No. 53 dunia).
Cuma cabaran untuk sektor wanita sedikit membimbangkan kerana skuad kebangsaan hanya diperkuatkan dengan pemain sokongan iaitu beregu wanita yang dipecah ganding, Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui dan pasangan ke-66 dunia, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee.
Bagi perseorangan wanita, Malaysia tidak mempunyai pilihan apabila membariskan K. Letshanaa (No. 59 dunia) dan Wong Ling Ching (No. 95 dunia) yang merupakan pemain terbaik dimiliki BAM pada ketika ini.
Tanpa kelibat pemain-pemain utama, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky memberikan alasan kalendar Jelajah Dunia yang terlalu padat menjadi punca pihaknya membuat keputusan tersebut.
“Pemain-pemain utama terpaksa berdepan dengan kalendar perlawanan yang padat dan kejohanan ini bagi saya menawarkan platform terbaik untuk barisan pemain sokongan menyerlah serta meraih pengalaman yang amat berharga,” katanya.
Beliau berkata, amat penting untuk meletakkan keseimbangan dalam pasukan kebangsaan dengan menggabungkan pemain senior dan muda.
Katanya, keputusan itu dibuat BAM selepas memikirkan semasak-masaknya tentang manfaat yang bakal diraih pasukan dan akhirnya gabungan wajah lama serta baharu merupakan pilihan terbaik.
“Kita hanya membuat keputusan ini selepas berbincang dan akhirnya keputusan sepakat dicapai, gabungan dengan pemain berpengalaman diyakini dapat memberi pemain-pemain muda ini peluang yang jarang mereka miliki.
“Jika tidak sekarang, bila lagi mereka akan diberi peluang yang sebegini? Bagi saya amat penting untuk kita memberikan pengalaman sebanyak mungkin kepada pemain-pemain di dalam kelompok ini,” kata bekas juara dunia kelahiran Indonesia tersebut.
Katanya, fokus kini ialah mempersiapkan pasukan ke kejohanan tersebut dan berjanji skuad kebangsaan hanya akan memberikan yang terbaik.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang dianggap kumpulan maut bakal mengharungi cabaran berdepan Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan dengan pencapaian pada 2023 mara sehingga suku akhir sebelum tewas kepada juara dua kali, China. – UTUSAN