Aaron-Wooi Yik temui rentak, mara ke separuh akhir Indonesia Masters

Sukan

PETALING JAYA: Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke separuh akhir Indonesia Masters 2025 di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.

Pasangan No. 5 dunia itu berjaya menumpaskan beregu pecah ganding Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho menerusi kemenangan straight set 19-21, 15-21 dalam masa 41 minit.

Menunggu mereka di separuh akhir esok, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas mereka turut menewaskan rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King 21-16, 21-16 dalam masa 32 minit.

Kemaraan itu sekali gus memastikan wakil Malaysia berada di pentas final dalam acara beregu lelaki pada kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan.

Dalam pada itu, langkah beregu campuran sensasi negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin terhenti apabila gagal mengatasi pasangan tuan rumah Rivon Rivaldy-Lisa Kusumawati.

Bagaimanapun, beregu No. 18 dunia itu menyajikan saingan sengit dalam pertarungan tiga set 23-21, 11-21. 19-21 dalam masa 63 minit.

Turut tersingkir, beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing selepas tewas kepada pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dengan keputusan straight set 21-5, 21-13 dalam tempoh 31 minit. – UTUSAN