PETALING JAYA: Hasrat jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar untuk menghadiahkan kekalahan pertama kepada petarung Colombia, Johan Estupinan pada pertarungan ONE 170 di Impact Arena Bangkok, Thailand tidak kesampaian.
Begitupun, Johan atau lebih mesra disapa Jojo memberi tentangan sengit dalam pertarungan tiga pusingan itu.
Pada pusingan pertama, Jojo kelihatan menguasai pertarungan itu apabila berjaya membuat Estupinan jatuh sebanyak dua kali.
Namun, Estupinan,22, mempamerkan kebangkitan pada pusingan kedua dan antara momen terbaik apabila dia melepaskan satu tumbukan padu tepat ke muka Jojo hingga membuat atlet negara itu jatuh.
Bagaimanapun, Jojo yang berusia 18 tahun itu masih mampu meneruskan perlawanan selepas itu.
Memasuki pusingan ketiga, kedua-dua petarung terus memperagakan perlawanan menarik untuk disaksikan oleh para penonton yang hadir di Arena Bangkok serta yang berada di rumah.
Selepas berakhir pusingan ketiga, pemenang ditentukan oleh juri dan ia memihak kepada Estupinan untuk melebarkan rekod tanpa kalah kepada 26-0.
Manakala Johan pulak terpaksa menerima kekalahan kedua dengan rekod 6-2 di kejohanan berkenaan.
Meskipun tewas, tenyata latihan di Thailand memberi impak kepada Jojo yang dilihat lebih bersabar dalam melakukan serangan dan meragakan gaya pertarungan berbeza berbanding sebelum ini.-UTUSAN