PETALING JAYA: Penstrukturan baharu Harimau Malaya secara keseluruhan menjadikan semua pihak tidak sabar melihat sejauh mana proses itu mampu mencipta kejayaan.
Ketibaan pengendali baharu, Peter Cklamovski dan pelancaran jersi baharu menambahkan lagi keterujaan untuk menyaksikan penampilan berbeza Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Keterujaan itu bukan hanya dinantikan peminat, malah ia turut mempengaruhi pemain yang dilihat mendapat tonik baharu bagi memastikan Harimau Malaya tampil lebih ‘mengaum’ bermula aksi kelayakan Piala Asia 2027, Mac depan.
Pemain tengah skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba berkata, tahun 2025 menjadi permulaan perjalanan baharu buat Harimau Malaya menerusi proses revolusi skuad kebangsaan.
Katanya, kehadiran Cklamovski menaikkan lagi semangat semua pemain dan berharap Harimau Malaya dapat mencipta pencapaian lebih baik berbanding apa yang dikecapi sebelum ini.
“Ini satu perjalanan yang kita mulakan, saya harap proses ini akan menjadi lebih baik untuk kita mencapai sejauh mana yang kita boleh.
“Jurulatih ada sasaran dia, sebagai pemain kami perlu tunjukkan yang terbaik dan jika diberi peluang bermain untuk negara ia satu penghargaan,” katanya.
Revolusi Harimau Malaya turut merangkumi pelantikan bekas pemain kebangsaan Kanada, Robert Douglas Friend selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan dan Dr Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan.
Tidak cukup dengan itu, skuad negara juga bakal diperkuatkan dengan beberapa pemain warisan selain usaha mendapatkan status naturalisasi buat bintang import Liga Malaysia (Liga M) terutama Bergson Da Silva dan Manuel Hidalgo.
Dalam pada itu, pemain sayap negara, Safawi Rasid menyifatkan jersi baharu itu sebagai antara yang terbaik untuk pasukan kebangsaan sambil menganggap kehadiran Cklamovski membawa semangat baharu untuk mengemudi Harimau Malaya.
“Sudah tentu mana-mana jurulatih baharu yang datang memang bersemangat, pemain pun kena bersemangat untuk membentuk kerjasama dalam pasukan.
“Saya tengok karakter dia (Cklamovski) macam tegas. Saya akan memberi aksi terbaik bersama kelab dan apa-apa keputusan terpulang kepada ketua jurulatih, saya hanya perlu bekerja keras,” ujarnya.-UTUSAN