JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan mengambil mudah pertemuan dengan Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super malam ini, biarpun berjaya menewaskan skuad Penyu itu dengan jaringan yang besar pada minggu lalu
Pengendalinya, Hector Bidoglio berkata, barisan pemain ditagih untuk memberi komitmen penuh setiap perlawanan dan rekod perlawanan lalu tidak memberi sebarang makna kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.
Tambahnya, skuad Harimau Selatan berada di prestasi terbaik mereka dan berharap keseluruhan pemain dapat mengekalkan rentak kemenangan bagi memburu kejuaraan Liga Super buat kali ke-11.
“Kita akan berdepan TFC buat kali kedua berturut-turut selepas aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia yang menyaksikan JDT menang 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Bagaimanapun, ini adalah aksi yang berbeza dan saya yakin pengendalinya, Badrul Afzan Razali sudah merencana sesuatu untuk pertembungan ini. Justeru, pemain tidak boleh dibuai kemenangan yang lalu sebaliknya beraksi dengan bermati-matian,” katanya.
Menurut Bidoglio, kemenangan aksi lalu meningkatkan keyakinan pemain untuk mengulangi kejayaan yang sama seterusnya membawa pulang tiga mata berharga.
Pengendali kelahiran Argentina itu mahu pemain mengekalkan rentak permainan yang agresif dan dinamik sekali gus menyekat pergerakan lawan untuk melakukan percubaan gol.
“TFC mempunyai barisan pemain yang baik dan berupaya untuk mencipta kejutan. Namun, kita tidak harus terlalu memikirkan soal mereka sebaliknya fokus untuk memburu gol mengikut perancangan ampuh yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambahnya, dia akan menunggu hingga saat akhir bagi memutuskan pemain yang akan diturunkan setelah beberapa pemain tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.-UTUSAN