Dari gelanggang badminton ke padang bola sepak

Sukan

NAMA Shafira Ika Putri pastinya tidak asing buat peminat-peminat bola sepak Indonesia dek kerana kecantikan serta kemampuannya sebagai kapten pasukan bola sepak wanita Sang Garuda.

Memiliki rupa paras persis model, Shafira atau lebih mesra disapa Ika terlebih dahulu membina kerjayanya dalam sukan badminton.

Sukan itu diceburinya bagi memenuhi kehendak ayahnya yang mahu dia menjadi seorang pemain badminton Indonesia, dengan menjalani latihan bersama kelab PB Bersatu Surabaya.

Bagaimanapun, minatnya yang cukup mendalam dalam bola sepak menyaksikan percubaan dalam sukan badminton hanya bertahan selama dua tahun sebelum membuat keputusan menyertai dunia bola sepak yang disifatkannya lebih mencabar.

AKSI Shafira ketika menjalani sesi latihan bersama kelabnya.

Hasrat Shafira untuk menjadi pemain bola sepak pada mulanya dihalang oleh ibu dan ayahnya, namun selepas melihat kesungguhan, mereka memberi sokongan penuh kepadanya.

“Pada mulanya ayah dan ibu melarang. Mereka masih berfikir bahawa bola sepak adalah untuk kanak-kanak lelaki.

“Tetapi keinginan tinggi saya untuk menjadi pemain bola sepak dapat melembutkan hati ibu dan ayah. Kasut bola pertama saya dibeli menggunakan wang saku harian yang disimpan,” katanya.

Bagi menjadi seorang pemain bola sepak yang berjaya dan miliki masa depan cerah, ayah Shafira menjadi jurulatih pertamanya dalam membina kekuatan fizikal.

“Ayah saya kata bola sepak memerlukan fizikal yang kuat, dan Alhamdulillah, Ika boleh jadi begini sekarang, sudah tentu berkat tunjuk ajar ayah saya,” jelas kapten bola sepak Indonesia itu.

Shafira memulakan kerjaya profesional dalam bola sepak dengan menjadi pemain pasukan Tira Persikabo Kartini yang beraksi di Liga 1 Putri.

AKSI Shafira ketika bersama skuad kebangsaan Indonesia.

Pada usia 15 tahun, Shafira telah dipanggil mewakili skuad bawah 15 tahun wanita Indonesia menerusi penampilan sulungnya di kejuaraan antarabangsa pada tahun 2017 bagi mengharungi Piala AFF B-15 di Laos.

Menampilkan aksi menyakinkan dengan skuad muda, Shafira terus diserap bersama skuad senior dengan bermain di Piala AFF 2018 dan Sukan SEA 2019.

Kebolehan dan kemahirannya dalam bola sepak menyaksikan dia kini merupakan tonggak pasukan bola sepak wanita Indonesia.

Dia turut mengetuai pasukan bola sepak wanita beraksi di Piala Asia wanita 2022 dan pencapaian terbaharu adalah berjaya menjadi juara Piala AFF Wanita 2024.

Shafira juga cukup aktif berkempen bagi memastikan bola sepak wanita mampu setaraf dengan bola sepak lelaki di Indonesia.

SHAFIRA turut menjadi rebut syarikat pengiklanan.

Justeru, dia berharap Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) dapat mewujudkan satu pertandingan kompetitif buat wanita bagi memastikan bola sepak wanita berkembang dan memiliki peluang untuk beraksi di Piala Dunia.

“Di Indonesia, tidak cukup tempat untuk bermain bola sepak dan belum ada liga (kompetitif). Semoga pada masa akan datang PSSI akan mewujudkan liga wanita supaya lebih ramai bakat wanita dalam bola sepak Indonesia,” kata Shafira.

Shafira turut menitip nasihat kepada wanita-wanita muda di Indonesia yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak sepertinya, bahawa disiplin tinggi dan rajin berlatih serta berusaha keras menjadi kunci utama untuk berjaya.