PETALING JAYA: Jabatan Perikanan mengumumkan statistik terkini pengeluaran udang galah yang menunjukkan perkembangan positif dalam sektor akuakultur di negara ini.
Pada tahun 2023, Malaysia telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 793.9 tan metrik udang galah dengan nilai borong RM42 juta, meningkat daripada 625.3 tan metrik (RM30.8 juta) pada tahun 2022.
Walaupun terdapat sedikit penurunan pada tahun 2024 kepada 417 tan metrik dengan nilai RM22 juta, pengeluaran udang galah terus memberikan sumbangan yang besar kepada sektor perikanan negara.
Negeri Pahang menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun dari 2021 hingga 2023. Pada tahun 2021, pengeluaran udang galah di Pahang mencatatkan 15.2 tan metrik dengan nilai borong RM1 juta.
Pada tahun berikutnya, 2022, pengeluaran meningkat kepada 19.8 tan metrik dengan nilai borong RM1.4 juta.
Peningkatan yang lebih ketara berlaku pada tahun 2023, apabila pengeluaran melonjak kepada 74.3 tan metrik dengan nilai borong RM5.6 juta.
Pengeluaran udang galah terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan pendapatan penternak dan nelayan darat, di samping menyokong kestabilan bekalan makanan tempatan.
Jabatan Perikanan kekal komited untuk memastikan kelestarian dan kualiti pengeluaran melalui pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan infrastruktur dan penyelidikan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) bagi menghasilkan benih udang galah berkualiti tinggi dan bebas penyakit.
Sebagai sebahagian daripada usaha menangani cabaran seperti kekurangan bekalan benih berkualiti dan kos operasi yang tinggi, jabatan telah melaksanakan Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur.
Selain itu, program pembiakbakaan induk udang galah yang bermula sejak tahun 2016 terus menunjukkan kejayaan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran.
Jabatan Perikanan juga telah melaksanakan program pelepasan lebih 21 juta ekor benih udang galah ke perairan sungai bernilai RM2.35 juta dari tahun 2021 hingga 2024.
Di negeri Pahang sahaja, sebanyak 1.7 juta ekor benih udang galah telah dilepaskan ke sungai-sungai utama sepanjang tempoh tersebut, memberikan manfaat besar kepada komuniti nelayan darat tempatan dan menyokong pemuliharaan ekosistem.
Dalam usaha melibatkan generasi muda, jabatan menggalakkan penyertaan mereka melalui program Geran Agropreneur Muda (GAM) yang menawarkan sokongan kepada individu yang berminat menceburi bidang akuakultur.
Permohonan untuk GAM kini dibuka sepanjang tahun dan boleh dibuat secara atas talian melalui pautan
Peningkatan nilai borong udang galah setiap tahun turut mencerminkan potensi besar produk ini sebagai komoditi eksport yang kompetitif di peringkat antarabangsa.
Pengeluaran mampan yang berterusan akan memastikan sektor akuakultur terus berkembang, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta memastikan bekalan makanan laut kekal terjamin.
Jabatan Perikanan kekal komited untuk menyediakan pelbagai sokongan bagi memastikan industri penternakan udang galah di Malaysia terus berkembang maju dan memberikan impak positif kepada ekonomi negara dan rakyat.