ES Sunlogy lancar IPO Pasaran ACE, sasar kumpul RM42 juta

Perniagaan

PETALING JAYA: ES Sunlogy Berhad (ES Sunlogy) penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) sasar kumpul RM42 juta dengan terbitan 140 juta saham biasa baharu pada harga runcit 30 sen sesaham melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Sebanyak RM14.1 juta daripada hasil pengumpulan dana ini akan diperuntukkan untuk pembangunan dan pembinaan Loji Solar Fotovoltaik Berskala Besar (LSSPV) Selarong, yang menekankan komitmen ES Sunlogy terhadap tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, RM14 juta akan digunakan untuk membayar pinjaman dan RM9.2 juta akan menyokong keperluan modal kerja syarikat, manakala RM7 juta untuk pembelian sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) untuk meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan kumpulan dan RM4 juta untuk perbelanjaan IPO.

Pengarah Urusan ES Sunlogy Berhad, Khor Chuan Meng, berkata, pelancaran prospektus tersebut menandakan lembaran baharu dalam pertumbuhan dan perjalanan korporat.

“IPO ini akan membolehkan kami mempercepatkan lagi usaha dalam menyampaikan penyelesaian kejuruteraan M&E berkualiti tinggi sambil memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.

“Dana diperoleh daripada IPO akan menyokong inisiatif strategik jangka panjang, termasuk mengembangkan keupayaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat, meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan keterlihatan dan menyumbang kepada pembangunan mampan negara.

“Penyenaraian ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami terhadap inovasi, kemampanan dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan syarikat,” katanya dalam kenyataan.

ES Sunlogy telah menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh, dengan jumlah hasil meningkat sebanyak RM85.91 juta, atau 169 peratus, daripada RM50.82 juta pada tahun kewangan berakhir 2022 kepada RM136.73 juta pada tahun kewangan 2023.

Pertumbuhan ini diteruskan pada tahun kewangan berakhir 2024, dengan hasil meningkat lagi sebanyak RM54.36 juta, atau 39.8 peratus, kepada RM191.09 juta.

Jelas Chuan Meng, prestasi cemerlang ini menggariskan fokus strategik syarikat untuk mengembangkan perkhidmatan M&E merentasi sektor permintaan tinggi, termasuk pemasangan solar dan penyelesaian tenaga industri, dengan projek M&E utama di Selangor, Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis. – UTUSAN