Bursa Malaysia sasar 60 IPO pada 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) menyasarkan sebanyak 60 syarikat atau tawaran awam permulaan (IPO) akan disenaraikan di pasaran saham tersebut tahun ini dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM40.2 bilion.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, unjuran tersebut berdasarkan prospek yang kukuh daripada permohonan yang telah dibuat ketika ini.

“Buat masa ini, Bursa Malaysia sudah ada dua syarikat untuk penyenaraian di Pasaran Utama yang telah diluluskan dan bakal disenaraikan pada Mac dan seterusnya.

“Sementara itu, terdapat 15 syarikat untuk disenaraikan di Pasaran ACE dan juga ada beberapa lagi. Jadi dari segi purata nilai pasaran kalau tahun lepas adalah RM620 juta untuk setiap syarikat.

“Purata nilai pasaran tahun ini, kami sasarkan sekitar RM670 juta untuk setiap syarikat. Ini termasuk syarikat kecil dan besar,” katanya dalam taklimat media Keputusan Tahun Kewangan 2024 melalui Zoom di sini, semalam.

Pada tahun lalu, Bursa Malaysia merekodkan 55 penyenaraian baharu yang secara kolektif memperoleh RM7.4 bilion, menyumbang kepada jumlah permodalan pasaran IPO sebanyak RM31.4 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, IPO tersebut dijangka datang daripada pelbagai sektor termasuk sektor kesihatan dan perdagangan.

“Kami menjangkakan daripada kumpulan yang pelbagai dan tiada satu pihak sahaja. Kami juga mengalu-alukan MMC Port kembali ke Bursa Malaysia. Oleh itu, juga melibatkan penyenaraian dari infrastruktur,” ujarnya.

Terdahulu, Bursa Malaysia mengumumkan keuntungan selepas cukai, zakat dan faedah minoriti (PATAMI) berjumlah RM310.1 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024), melonjak 22.9 peratus daripada RM252.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan tersebut didorong prestasi kukuh dalam pasaran sekuriti dan derivatif serta perniagaan data, yang menyumbang kepada pertumbuhan 27.8 peratus dalam hasil operasi kepada RM757.7 juta, berbanding RM592.8 juta pada 2023.

Lembaga pengarah meluluskan dan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 18.0 sen sesaham untuk tahun kewangan 2024, dilengkapi dengan dividen khas sebanyak 8.0 sen sesaham, mengagihkan sejumlah kira-kira RM210.4 juta.

Digabungkan dengan dividen interim sebelumnya, ini menjadikan jumlah dividen kepada 36.0 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 93.9 peratus untuk tahun kewangan 2024.

Mengulas mengenai prestasi itu, Muhamad Umar berkata, pihaknya mengoptimumkan masa depan yang kukuh tahun ini dengan inisiatif menarik dalam perancangan dan membina bursa pelbagai aset yang daya tahan dan mampan.

Ujarnya, Bursa Malaysia menyasarkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM369 juta hingga RM408 juta pada tahun kewangan 2025.

Selain itu, pihaknya juga menyasarkan pengurangan pelepasan korbon organisasi sebanyak 10 peratus dari Skop 1 dan 2 daripada tahun kewangan 2022. – UTUSAN