Saham syarikat teknologi menjunam, diancam DeepSeek

Perniagaan

NEW YORK: Pelabur global menjual saham teknologi berikutan bimbang kemunculan model kecerdasan buatan (AI) kos rendah dari China akan mengancam dominasi peneraju AI seperti Nvidia, menyebabkan nilai pasaran pengeluar cip itu susut AS$593 bilion, kerugian sehari terbesar dalam sejarah Wall Street.

Menurut laporan Reuters, minggu lalu, syarikat pemula China, DeepSeek, melancarkan pembantu AI percuma yang dikatakan menggunakan data yang lebih sedikit pada kos yang jauh lebih rendah berbanding perkhidmatan sedia ada.

Menjelang semalam, aplikasi itu telah mengatasi pesaing dari Amerika Syarikat (AS), ChatGPT, dalam jumlah muat turun dari kedai aplikasi Apple.

Ia menyebabkan Nasdaq, yang banyak dipengaruhi oleh saham teknologi, jatuh 3.1 peratus pada Isnin.

Nvidia menjadi penyumbang terbesar kemerosotan Nasdaq, dengan sahamnya menjunam hampir 17 peratus, mencatat kerugian nilai pasaran sehari terbesar bagi saham Wall Street, menurut data LSEG.

Kerugian nilai pasaran Nvidia pada Isnin adalah lebih sekali ganda rekod sebelumnya, yang juga dicatat oleh Nvidia pada September lalu.

Saham lain yang turut menyumbang kepada kejatuhan Nasdaq termasuk Broadcom Inc, yang susut 17.4 peratus, diikuti oleh ChatGPT disokong Microsoft, susut 2.1 peratus dan Alphabet, syarikat induk Google, merosot 4.2 peratus.

Indeks semikonduktor Philadelphia jatuh 9.2 peratus, kemerosotan peratusan terbesar sejak Mac 2020, dengan penyusutan terbesar dialami oleh Marvell Technology, yang jatuh 19.1 peratus.

Kejatuhan pasaran ekuiti AS mengikuti gelombang jualan yang bermula di Asia, dengan SoftBank Group Jepun ditutup rendah 8.3 peratus dan merebak ke Eropah di mana ASML susut tujuh peratus.

Ketua Ahli Ekonomi di Annex Wealth Management, Menomonee Falls, Wisconsin, Brian Jacobsen berkata, jika benar DeepSeek adalah seperti ‘perangkap tikus yang lebih baik’, ini boleh mengganggu keseluruhan naratif AI yang telah memacu pasaran dalam dua tahun terakhir kebelakangan ini.

“Ini boleh bermakna permintaan yang lebih rendah untuk cip, keperluan lebih kecil untuk membangunkan pengeluaran tenaga secara besar-besaran untuk menyokong model AI dan keperluan yang lebih rendah untuk pusat data berskala besar,” katanya.

Keterujaan sekitar AI telah mendorong aliran masuk modal yang besar ke dalam ekuiti dalam 18 bulan terakhir, menyebabkan peningkatan penilaian dan mendorong pasaran saham ke tahap tertinggi baharu.

Sehingga Rabu lalu, saham berkaitan AI di AS meningkat dengan mendadak selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan rancangan sektor swasta untuk pelaburan AS$500 bilion dalam infrastruktur AI melalui usaha sama yang dikenali sebagai Stargate.

Sejak itu, SoftBank mengumumkan komitmen AS$19 bilion untuk membantu membiayai usaha sama Stargate, yang turut disokong oleh OpenAI, pembangun ChatGPT dan Oracle, yang sahamnya susut 13.8 peratus semalam.

Dalam usaha mengelak risiko, pelabur mencari aset lindung nilai seperti bon kerajaan dan mata wang.

Hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS jatuh kepada 4.53 peratus, manakala yen dan franc Swiss mengukuh berbanding dolar AS.-AGENSI