Tahun Baru Cina suram buat Justin

Sukan

PETALING JAYA: Pemain perseorangan muda negara, Justin Hoh, gagal memulakan musim 2025 dengan cemerlang apabila tersingkir di pusingan pertama Thailand Masters 2025 di Stadium Nimibutr, Bangkok, sebentar tadi.

Pemain No. 53 dunia itu terpaksa akur apabila wakil Indonesia, Moh. Zaki Ubaidillah, bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 21-17, 12-21, 13-21 dalam tempoh 51 minit.

Turut tersingkir, pemain profesional negara, Cheam June Wei, selepas tewas kepada wakil India, S. Sankar, dengan keputusan 21-15, 15-21, 19-21.

Bagaimanapun, Aidil Sholeh menceriakan kem perseorangan lelaki apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain India, hari ini.

Pemain berusia 25 tahun itu mudah mengatasi M. Mithun dengan keputusan 21-14, 21-13 dalam tempoh 40 minit.

Aidil seterusnya dijadualkan bertemu pemain China, Wang Zheng Xing, bagi penentuan ke suku akhir.

Turut mara, pemain perseorangan profesional wanita negara, S. Kisona, selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi H. Tanya.

Pemain berusia 26 tahun itu menewaskan wakil India terbabit dengan keputusan 21-15, 11-21, 21-13 dalam tempoh 53 minit.

Kisona bakal menghadapi ujian getir apabila dijadualkan bertemu pemain Indonesia, Putri Kusuma Wardani, yang kini menghuni ranking ke-15 dunia.

Sementara itu, beregu campuran muda negara, Loo Bing Kun-Ho Lo Ee, mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Israel.

Beregu No. 79 dunia itu mudah mengatasi Misha Zilberman-Svetlana Zilberman dengan keputusan 21-13, 21-6 dalam tempoh 22 minit.

Bing Kun-Lo Ee seterusnya akan berdepan pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil, pada aksi pusingan kedua, esok. – UTUSAN