PETALING JAYA: Harga tepung susu penuh krim (WMP) di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara baru-baru ini, mencapai paras tertinggi dalam tempoh dua tahun pada AS$3,988 (RM18,734.60) setiap tan pada 21 Januari, menurut Affin Hwang Capital.
Peningkatan itu mungkin disebabkan oleh penurunan dalam jumlah pengeluaran dan pemulihan permintaan dari China.
Affin Hwang Capital berkata, peningkatan harga WMP ini dijangka memberi kesan kepada margin dan pendapatan Farm Fresh Bhd.
Firma penyelidikan itu menambah, Farm Fresh masih memiliki inventori WMP dengan kos rendah sehingga Mei, tetapi mungkin perlu mula mengisi semula stok menjelang akhir Februari atau awal Mac.
“Dengan harga WMP yang terus meningkat, kami mengurangkan ramalan pendapatan per saham untuk tahun kewangan 2026 hingga 2027 sebanyak 8.0 hingga 9.0 peratus bagi mencerminkan harga bahan mentah lebih tinggi dan menjangka kos bahan mentah yang lebih tinggi akan menjejaskan margin menjelang suku kedua 2026.
“Kami melihat potensi penurunan sebanyak 8.0 hingga 9.0 peratus berbanding jangkaan pendapatan konsensus semasa.
“Walaupun kami masih menyukai Farm Fresh dan berpendapat syarikat ini sedang menuju ke arah yang betul dengan pengembangan perniagaan tenusu dan aiskrim, harga WMP yang semakin meningkat berkemungkinan akan mengehadkan potensi kenaikan jangka pendek,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai kelebihan, Affin Hwang berkata, Farm Fresh telah memperoleh lima daripada enam zon di Semenanjung Malaysia untuk projek susu sekolahnya yang bertujuan untuk menghantar 84 juta pek setahun (berbanding tiga zon dan 65 juta pek sebelumnya).
“Ini adalah kontrak harga tetap selama lima tahun dan ia dijangka membantu memberikan aliran pendapatan yang stabil bagi Farm Fresh,” katanya.
Di bidang perniagaan aiskrim, Affin Hwang berkata barisan pengeluaran semasa (70,000 unit sehari) beroperasi pada kadar penggunaan optimum sebanyak 80 hingga 90 peratus disebabkan oleh permintaan yang kuat.
“Kapasti yang lebih besar dijangka akan beroperasi mulai Mac, dengan kapasiti sekitar 280,000 unit sehari dan akan meningkat lagi kepada 900,000 unit sehari apabila kilang Enstek di Negeri Sembilan siap sepenuhnya, yang sedang berjalan mengikut jadual dan dijangka memulakan pengeluaran pada suku keempat 2025.
“Dengan kapasiti besar ini yang akan beroperasi menjelang akhir tahun, kami menjangkakan ia akan menjadi pemacu utama pendapatan bagi syarikat,” katanya.
Dengan harga saham yang meningkat kira-kira 27 peratus sepanjang tahun lalu, Affin Hwang mengesyorkan agar pelabur mengambil untung pada tahap ini.
Firma penyelidikan itu menurunkan penarafan Farm Fresh kepada “Hold” dengan harga sasaran yang lebih rendah iaitu RM1.77. – UTUSAN