Jurulatih Malaysia kena ‘pancing’

Sukan

PETALING JAYA: Selepas ramai jurulatih badminton Malaysia memilih berkhidmat di luar negara, kini giliran jurulatih skuad terjun pula mengambil pendekatan yang sama.

Keputusan itu dipercayai diambil kerana mereka mendapat tawaran lebih lumayan untuk melatih pasukan luar negara berbanding berkhidmat melatih atlet di Malaysia.

Tawaran lumayan itu pastinya sukar ditolak dengan terbaharu, Pengarah Teknikal Terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas, mengumumkan peletakan jawatannya secara rasmi pada 22 Februari ini.

Bryan mendedahkan bahawa beliau telah menerima tawaran menarik di luar negara untuk berkhidmat sebagai jurulatih, namun masih belum menandatangani kontrak rasmi.

Begitu juga dengan bekas penerjun negara, Wendy Ng, yang turut meninggalkan jawatannya sebagai jurulatih pembangunan bakat Wilayah Persekutuan minggu lalu.

Wendy akhirnya menerima ‘lamaran kedua’ daripada Akuatik Singapura untuk berkhidmat sebagai jurulatih pembangunan selepas mendapat sokongan penuh daripada keluarganya.

Sebelum ini, beliau menolak tawaran pertama berikutan komitmennya bersama skuad Wilayah Persekutuan ketika SUKMA Sarawak, Ogos lalu.

Sebelum ini, ketua jurulatih beregu lelaki Akademi Badminton Malaysia (ABM), Tan Bin Shen turut meletakkan jawatan pada 13 Januari lalu selepas menerima tawaran lumayan daripada Persatuan Badminton Hong Kong

Sementara itu, legenda skuasy negara, Ong Beng Hee turut memilih untuk menubuhkan akademinya sendiri di Beijing, China pada Jun tahun lalu selepas sukan itu disahkan akan bertanding pada Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.- UTUSAN