Bukan mustahil Malaysia ke Piala Dunia

Sukan

PETALING JAYA: Impian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan, Robert Douglas Friend untuk membawa Malaysia ke Piala Dunia pada satu hari nanti bukanlah cita-cita yang mustahil untuk dikecapi.

Kejohanan empat tahun sekali yang bakal memasuki penganjuran kali ke-23 itu pada 2026 depan menjadi antara misi utama Friend dan ia diluahkan sebaik sahaja memulakan tugasnya sebelum ini.

Begitupun, impian itu mendapat pelbagai reaksi negatif daripada segelintir peminat serta netizen dengan ada yang menyifatkan bekas pemain kebangsaan Kanada itu sekadar bermimpi atau angan-angan Mat Jenin.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, netizen tidak sepatutnya berfikiran negatif, sebaliknya perlu memberi sokongan penuh kepada pengurusan skuad Harimau Malaya dalam usaha membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Jelasnya, impian CEO Harimau Malaya itu sepatutnya dibanggakan peminat bola sepak tempatan, kerana ia menunjukkan bahawa pasukan negara memiliki keupayaan untuk mencipta sejarah ke Piala Dunia walaupun bukan dalam masa yang singkat.

Jamal berkata, perkara itu tidak mustahil mampu dilakukan yang mana sejarah pernah membuktikan bahawa Malaysia juga tidak pernah bermimpi untuk layak ke Sukan Olimpik pada 1972 dan 1980.

“Dia mahu bawa Malaysia ke Piala Dunia, jadi kenapa pula kita nak kata mimpi atau sebagainya. Jangan cakap begitu, sebab dulu pun kita tak pernah mimpi boleh layak ke Olimpik 1972 dan 1980.

“Buang segala pemikiran negatif, sekarang fokus secara positif yang mana kita nak tengok pasukan Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit dan kita nak tengok juga yang kita boleh masuk Piala Dunia.

“Netizen pun cukup-cukuplah, jangan hanya tahu mengutuk sahaja. Itu bukan budaya kita, budaya itu patut dibuang. Kita mahu tengok Harimau Malaya kali ini naik dengan sokongan kita semua, bukan kritikan berlebihan,”katanya.

Harimau Malaya dijangka tampil dengan wajah baharu bermula tahun ini apabila bakal diperkuatkan dengan pemain warisan yang mana Friend dalam dalam kenyataan, kelmarin memaklumkan proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir, sementara tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.

Selain itu, skuad kebangsaan juga dijangka akan mendapat sentuhan mesin gol Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson Da Silva dan Manuel Hidalgo yang bakal mendapat status pemain naturalisasi.

Dalam perkembangan sama, Jamal memohon semua pihak memberi peluang dan ruang kepada proses revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Kalau kita asyik cakap itu tak boleh, ini tak boleh, sampai bila-bila orang tak boleh nak buat kerja. Jadi, beri ruang kepada Tunku Mahkota Ismail dan juga FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk bawa perubahan kepada pasukan negara,” ujarnya.-UTUSAN