PETALING JAYA: Public Bank dan Public Islamic Bank menawarkan bantuan bayaran balik untuk pelanggan pinjaman dan pembiayaan yang terjejas oleh bencana banjir di Sabah dan Sarawak pada masa ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, “Public Bank terus komited untuk meringankan beban kewangan pelanggan kami yang terjejas oleh banjir. Bantuan bayaran balik yang komprehensif dan perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh Public Bank akan membantu mereka meneruskan semula kehidupan harian mereka.”
Bantuan bayaran balik itu, yang turut ditawarkan kepada daerah lain yang terjejas oleh banjir yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan dilanda bencana banjir di negara ini termasuklah Penangguhan ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan sehingga 6 bulan.
Bantuan bayaran itu adalah untuk kemudahan pinjaman dan pembiayaan seperti pembiayaan rumah, sewa beli dan kad kredit bagi pelanggan individu serta pinjaman dan pembiayaan PKS untuk perniagaan yang terjejas.
Ia juga membabitkan pengecualian caj bagi penggantian dokumen berkaitan perbankan, seperti kad bank, buku akaun bank dan resit Deposit Tetap/Deposit Bertempoh-i yang telah musnah atau hilang semasa banjir.
Kerjasama segera telah dibuat dengan syarikat subsidiari Kumpulan, Lonpac Insurance Bhd untuk proses tuntutan segera oleh para pelanggan yang terjejas bagi kerugian yang dilindungi di bawah polisi insurans yang ditaja jamin oleh Lonpac.
Para pelanggan yang terjejas oleh banjir dinasihatkan agar menghubungi kami untuk bantuan pembayaran balik.
Selain itu, Public Bank juga merupakan institusi kewangan yang mengambil bahagian dalam Kemudahan Bantuan Bencana Bank Negara Malaysia.
Kemudahan ini adalah bagi tujuan pembaikan dan/atau penggantian aset bagi kegunaan perniagaan seperti loji dan jentera yang rosak akibat banjir, serta bagi tujuan modal kerja.
Hubungi Para pelanggan yang memerlukan bantuan bayaran balik serta maklumat lanjut, sila kunjungi cawangan Public Bank kami atau hubungi talian am Bank melalui 03-21708000.\
Untuk perkara berkaitan dengan tuntutan insurans, pelanggan yang terjejas boleh menghubungi Lonpac melalui 03-2262 8688. – UTUSAN