PETALING JAYA: Anggota Kabinet khususnya bukan beragama Islam diingatkan untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau memberikan ulasan terutama berkaitan agama Islam bagi mengelak isu dimanipulasi oleh pihak lawan.
Majlis Ulama UMNO Malaysia berkata, pihaknya merujuk kepada isu melibatkan sandwic ham dan keju yang menggunakan logo halal palsu dan penjualan arak di kawasan majoriti orang Islam iaitu di Ipoh, Perak.
Kata beliau, pimpinan kerajaan perlu lebih berhati-hati bagi mengelak ulasan atau kenyataan mereka dijadikan sebagai senjata untuk pihak lawan menyerang dan mencetuskan provokasi.
“Majlis Ulama UMNO memperingatkan pimpinan kerajan dalam kalangan menteri bukan Islam terutamanya agar lebih berhati-hati memberi ulasan apa sahaja berkaitan dengan Islam serta umat Islam.
“Ini agar tidak memberi persepsi negatif hingga ada pihak boleh ‘menunggang’ dan memprovokasinya sebagai ancaman terhadap Islam,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Ulama UMNO berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi antara tonggak Kerajaan Perpaduan sudah berjaya memperkasakan Islam sehingga berjaya.
Katanya, ia sebagai kesinambungan usaha-usaha kerajaan terdahulu khususnya UMNO dan BN dalam membangunkan Islam dalam negara ini sejak merdeka.
“Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama ini merupakan model terbaik bagi mewujudkan perpaduan kaum di seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Justeru, semua parti-parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan perlulah mengekalkan keharmonian dan sensitiviti semua kaum,” katanya.-UTUSAN