PETALING JAYA: Petarung muda muay thai negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, semakin hampir merealisasikan impiannya untuk beraksi di pentas berprestij, ONE Championship.
Mikail, atau lebih mesra disapa Miki, percaya peluangnya untuk menyertai kejohanan itu kini lebih terbuka selepas abangnya, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mencipta nama di kejohanan itu.
Bagaimanapun, atlet berusia 16 tahun itu sedar dia perlu membuktikan kemampuannya sebelum layak menerima tawaran tersebut untuk mengembangkan lagi kariernya dalam sukan berkenaan.
“Fokus saya sekarang adalah untuk menyertai ONE Championship sama ada tahun ini atau tahun depan. Jika dipanggil, saya mungkin akan beraksi dalam kategori 56 kilogram (strawweight).
“Tiada syarat tertentu yang perlu dipenuhi, cuma perlu menunggu panggilan mereka. Saya sudah ada hubungan dengan abang, jadi peluang itu lebih mudah. Buat masa ini, saya hanya perlu bertarung dengan baik,” kata Miki.
Miki yang bernaung di bawah Rentap Muay Thai Gym bakal menyertai Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 di Dataran Merdeka pada 22 Februari ini, yang dijangka menjadi platform terbaik untuknya membuktikan kemampuan.
Dalam pada itu, Miki turut menyuarakan kesediaannya untuk mewakili negara ke temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
“Memang saya mahu ke Sukan SEA kerana ingin merasai pengalaman bertarung di pentas itu, tetapi setakat ini masih belum dipanggil untuk pemilihan.
“Jika diberi peluang, saya bersedia menyahut cabaran dan kalau ada rezeki, saya mahu beraksi di sana,” tambahnya.
Untuk rekod, Miki mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak selepas meraih pingat emas dalam kategori 51-54kg lelaki.-UTUSAN