KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong menjadikan tahun 2025 sebagai keutamaan untuk mengecapi impian berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Bergandingan bersama Tee Kai Wun, Wei Chong baru-baru ini menjuarai Indonesia Masters 2025, kini berada di kedudukan terbaik dalam karier mereka iaitu ranking ke-12 dunia.
Sasaran untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia semakin tampak jelas dan hampir untuk direalisasikan oleh pasangan berkenaan.
“Kami berharap untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia kerana sasaran ini sudah dua tahun kami usahakan, namun masih belum tercapai.
“Diharapkan tahun ini kami benar-benar dapat mencapai sasaran itu,” kata Wei Chong kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam
Wei Chong-Kai Wun memulakan musim ini dengan cemerlang dengan mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2025, namun tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka India.
“Kami tidak mahu terlalu fokus kepada sasaran yang lebih jauh, kerana jika terlalu memikirkan perkara itu, ia akan memberi tekanan dan mengganggu konsistensi.
“Kami memilih untuk fokus satu perlawanan demi satu perlawanan, dan berikan yang terbaik dalam setiap kejohanan,” katanya.
Mengenai kehadiran jurulatih beregu lelaki baharu dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi, Wei Chong optimis dengan pengganti Tan Bin Shen membuat keputusan berhijrah ke Hong Kong.
“Saya rasa Herry dapat membantu kami kerana beliau telah mengendalikan kem badminton Indonesia lebih 30 tahun dan berjaya melahirkan juara-juara Olimpik serta pemain ternama.
“Saya berharap dengan bimbingannya, kami akan menjadi lebih baik,” kata Wei Chong.- UTUSAN