Sri Pahang mahu menang dalam tempoh 90 minit

Sukan

KUANTAN: Fandi Ahmad tidak mahu aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Sabah FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam ini berlarutan ke masa tambahan dan sepakan penalti.

Pengendali Sri Pahang FC itu berkata, anak buahnya wajib menamatkan aksi 90 minit dengan kemenangan bagi mencipta sejarah mara ke final Piala Malaysia, biarpun sedar bakal menerima tentangan sengit Sabah FC.

“Stiap pasukan yang bermain di separuh akhir kedua ini akan bekerja keras untuk menang , ini peluang terbaik untuk membuat sejarah buat pasukan mereka.

“Kita akan berusaha supaya kita boleh selesaikan dalam tempoh 90 minit, mudahan tak perlu bermain sehingga penentuan sepakan penalti.” Kata Fandi.

Sri Pahang pasti berusaha fokus di keseluruhan posisi yang penting selain mengawal rentak pasukan pelawat bagi mengelak mereka mendapat jaringan awal.

“Apabila pemain kehilangan bola, mereka harus kerja lebih keras untuk mendapatkan bola itu kembali selain bahagian pertahanan harus lebih kemas dan ketat,” katanya.

Skuad Sang Badak bimbingan Martin Stano sudah pasti tidak memberi laluan mudah buat Sri Pahang selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Likas

Pemain import, Saddil Ramdani sudah pasti menjadi duri dalam daging buat Sri Pahang yang perlu di kawal ketat selain ary Steven Robbat, Stuar Wilkin dan Park Tae Soo juga tidak boleh di pandang enteng.

Biarpun bakal berdepan tentangan sengit daripada lawan, skuad Tok Gajah akan memanfaatkan peluang di laman sendiri untuk aksi menyakinkan dan terbaik sebelum layak ke final Piala Malaysia.

Kpah Sherman kini sudah boleh beraksi dan kehadirannya memberi ketajaman di depan dan boleh membuka ruang dan peluang untuk menjaring gol.

“Ketiadaan Manuel Hidalgo yang digantung perlawanan kerana kad merah memberi cabaran besar tetapi saya perlu yakin dengan pemain yang akan menggantikan posisinya.

“Selain Hidalgo, kami tidak dapat menyenaraikan Syazwan Andik kerana kecederaan,” kata Fandi.

Kali terakhir Sri Pahang melangkah ke final piala berprestij itu pada 2014 dan bergelar juara pada musim itu selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).-UTUSAN