PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) kemungkinan besar bakal mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi pra musim akan datang.
Pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail mengesahkan perkara berkenaan dan ia bakal menjadi sejarah buat kelab dari Malaysia itu selepas cemerlang mendominasi Liga Malaysia (Liga M) sejak beberapa tahun ini.
Jika aksi menentang PSG menjadi kenyataan, ia akan mencatat satu lagi sejarah buat JDT serta arena bola sepak tempatan di era profesional ini.
Bukan itu sahaja, Pemangku Sultan Johor itu juga dilihat begitu serius mengangkat martabat JDT apabila kerjasama lebih erat akan terjalin antara kedua-dua kelab berkenaan.
“PSG 100 peratus tahun ini atau tahun depan. Banyak lagi perjanjian jangka pendek dan jangka panjang antara JDT dan PSG akan menyusul tahun ini.
“Saya dan Tim Cahill akan ke Paris untuk muktamadkan perjanjian,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Bagi aksi pra musim 2025/26, JDT akan ke Arab Saudi bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan untuk persaingan liga musim baharu.
“100 peratus, memang sudah ada dalam perancangan,”kata Tunku Mahkota Ismail ketika menjawab soalan peminat di laman X.
Kerjasama antara JDT dan PSG bukanlah sesuatu yang baharu apabila pada awal Januari lalu, kedua-dua kelab itu telah mengadakan pertemuan melibatkan Pemangku Sultan Johor bersama pengurusan tertinggi pasukan gergasi Ligue 1 itu.
Dalam pertemuan itu, difahamkan Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik skuad Harimau Selatan dijemput sebagai tetamu khas Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.
Jemputan khas itu menyaksikan Tunku Mahkota Ismail berkesempatan menyaksikan sesi latihan PSG di Stadium 974 di Doha, Qatar pada 4 Januari lalu.-UTUSAN