Jurulatih tempatan mahu cari pengalaman

Sukan

PETALING JAYA: Pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas menganggap langkah beberapa jurulatih tempatan berkelana di luar negara adalah normal.

Anak jati Kuching Sarawak itu akan meletak jawatannya secara rasmi pada 22 Februari ini selepas menerima tawaran lumayan di luar negara sebagai jurulatih.

Selain beliau, bekas penerjun wanita negara, Wendy Ng turut menyertai Singapura sebagai jurulatih pembangunan selepas melepaskan jawatannya di skuad Wilayah Persekutuan.

“Saya rasa ini perkara normal. Sememangnya ini kitaran biasa dalam sukan dan tidak ada perkara yang aneh di situ.
“Jurulatih kita pergi ke luar negara untuk menimba pengalaman dan pada masa yang sama kita pun mengambil pengendali asing untuk membantu pembangunan atlet kita.

“Saya sendiri pernah merasai fasa ini sebelum kembali ke MAS (Persekutuan Renang Malaysia) untuk membantu skuad kebangsaan,” kata Bryan kepada Utusan Malaysia.

Biarpun jurulatih berusia 35 tahun itu serta Wendy mengembangkan bakat di luar negara, Bryan menegaskan MAS tetap memberi keutamaan kepada jurulatih tempatan yang memenuhi syarat untuk menyertai pasukan kebangsaan.

“Sudah tentu, kami mahu melihat ramai bekas atlet negara menjadi jurulatih serta mengetuai skuad kebangsaan satu hari nanti.

“Bagaimanapun, MAS terikat dengan bajet dan kuota yang ditetapkan oleh MSN (Majlis Sukan Negara),” ujarnya.

Ketika ini, hanya seorang jurulatih tempatan, Nor Aznizal Najib, berada dalam skuad elit kebangsaan, sementara dua lagi jurulatih berasal dari China, Mao Lin dan Li Jun Bai

Skuad pelapis pula dikendalikan oleh Datuk Leong Mun Yee bersama dua jurulatih dari China, Li Jun Song dan Lu Jia Ning.- UTUSAN