PETALING JAYA: Kadar pengangguran yang rendah menghampiri 3.0 peratus boleh dianggap sebagai petanda bahawa pasaran buruh Malaysia semakin kukuh, didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil serta peningkatan pelaburan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Norlin Khalid berkata, kebergantungan terhadap tenaga kerja mahir dan berkemahiran tinggi dalam sektor yang berkembang pesat menunjukkan struktur pasaran buruh yang lebih dinamik dan berdaya tahan.
“Selain itu, kadar penyertaan tenaga kerja yang meningkat, termasuk dalam kalangan wanita dan golongan muda, turut menyumbang kepada kestabilan pasaran pekerjaan.
“Peningkatan pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI), serta dasar fiskal yang menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi inisiatif dalam Belanjawan 2025 juga telah membantu meningkatkan peluang pekerjaan.
“Selain itu, permintaan yang kukuh dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan berdasarkan nilai benar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 serta sektor perkhidmatan dan pembuatan merangkumi sekitar 82.6 peratus daripada keseluruhan saiz KDNK turut menyumbang kepada pengurangan bilangan penganggur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Jabatan Perangkaan melaporkan kadar pengangguran Malaysia pada Disember 2024 mencecah kadar terendah sejak hampir 10 tahun iaitu 3.1 peratus dengan 544,300 penganggur.
Ini berikutan menjelang penghujung 2024, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang kukuh, sekali gus membantu perkembangan guna tenaga dan bilangan penganggur terus berkurang.
Mengulas lanjut, Norlin berkata, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan peluang pekerjaan, khususnya dalam industri kewangan, teknologi maklumat dan perdagangan runcit.
“Dengan perkembangan pesat dalam ekonomi digital dan perniagaan e-dagang, banyak syarikat telah meningkatkan pengambilan pekerja untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin tinggi.
“Selain itu, sektor berkaitan perhotelan dan pelancongan turut menunjukkan perkembangan menggalakkan, didorong oleh program persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat kemungkinan bahawa kadar pengangguran yang rendah itu dipengaruhi oleh faktor sementara, seperti peningkatan pekerjaan bermusim dan pemulihan ekonomi pasca-pandemik.
“Sebagai contoh, program sokongan kerajaan yang diberikan semasa pandemik iaitu pada 2021 selama lima tahun dan masih lagi berlangsung pada waktu ini sebelum tamat sepenuhnya.
“Sokongan fiskal kerajaan dan dasar rangsangan ekonomi mungkin telah memberikan kesan jangka pendek yang mempercepatkan pengurangan pengangguran.
“Oleh itu, untuk memastikan kestabilan pasaran buruh dalam jangka panjang, perlu ada usaha berterusan dalam membangunkan sektor pekerjaan yang mampan dan kurang bergantung kepada faktor luar yang bersifat sementara,” ujarnya. – UTUSAN