PETALING JAYA: Skuad negara tidak mempunyai pilihan melainkan menewaskan Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 di Pusat Sukan Qingdao Conson di Qingdao, China, hari ini.
Semalam, Malaysia tumpas 2-3 kepada Hong Kong yang menurunkan barisan terkuat mereka berbanding pasukan kebangsaan yang hanya diwakili ‘skuad B’ pada edisi kali ini.
Berdepan Indonesia, negara tetangga itu juga seperti Malaysia yang hanya menurunkan pasukan kedua, tetapi, mereka masih mampu membenam cabaran Hong Kong 5-0.
Bagi mengelak pulang awal ke tanah air, skuad kebangsaan perlu mencari formula terbaik bagi menewaskan Indonesia dengan beregu campuran No. 4 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai wajib disenaraikan pada pertemuan, hari ini.
Gandingan berpengalaman negara itu yang tidak diturunkan, semalam, dijangka berdepan beregu pecah ganding, Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati.
Selain Soon Huat-Shevon, pemain No. 28 dunia, Leong Jun Hao pula perlu mengisi tempat Justin Hoh yang beraksi menentang Hong Kong dalam saingan perseorangan lelaki, semalam.
Jun Hao berkemungkinan besar akan berdepan pemain No. 43 dunia, Alwi Farhan berbanding Yohanes Saut Marcellyno yang menghuni ranking ke-63 dunia dan kedua-dua pemain itu belum pernah ditemuinya di mana-mana pentas antarabangsa.
Walaupun, skuad negara turut membawa beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King, tetapi, pasangan No. 12 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun harus menjadi pilihan untuk berdepan beregu handalan Indonesia.
Indonesia yang dijangka membariskan pasukan terkuat mereka mungkin menurunkan gandingan No. 16 dunia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin berbanding Rahmat Hidayat-Yeremia Rambitan yang berada di tangga ke-44 dunia.
Untuk perseorangan serta beregu wanita pula, Indonesia memiliki wakil yang terlalu kuat dan sukar untuk skuad negara meraih mata daripada kedua-dua saingan itu.
Misi skuad negara, hari ini, ialah meraih kemenangan 3-2 ke atas Indonesia untuk sekurang-kurangnya muncul sebagai naib juara Kumpulan B kerana harapan bergelar juara bagi mengelak bertemu pasukan handalan di suku akhir boleh dikatakan hampir tertutup.
Ini kerana agak mustahil untuk Malaysia menumbangkan Indonesia dengan kemenangan besar 4-1 ataupun 5-0, lebih-lebih lagi skuad kebangsaan tidak memiliki wakil yang hebat dalam saingan wanita.-UTUSAN