Sivasangari kini pemain No. 8 dunia

Sukan

PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 1 Malaysia, S. Sivasangari kini menghuni ranking No. 8 dunia, kedudukan tertinggi yang dicatat pemain tersebut sepanjang kariernya.

Dalam kemaskini ranking dunia yang dikeluarkan oleh Persatuan Skuasy Profesional (PSA), anak jati Sungai Petani, Kedah itu melonjak daripada anak tangga ke-10 kepada No. 8 dunia.

Kejayaan memenangi Piala Cincinnati Gaynor 2025 di Cincinnati, Amerika Syarikat (AS), kelmarin menjadi faktor utama lonjakan dua anak tangga yang dilakar Sivasangari.

Pemain berusia 26 tahun itu menewaskan wakil tuan rumah, Amanda Sobhy 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4 dalam masa 48 minit pada perlawanan akhir.

Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee mengucapkan tahniah kepada Sivasangari di atas pencapaian tersebut.

“Tahniah kepada SIvasangari kerana mendapat kedudukan No. 8 dunia, ranking terbaik setakat ini dan sebenarnya ini adalah titik tolak untuk Sivasangari menaikkan kualiti permainannya.

“Kejayaan ini memberi semangat baharu buat Sivasangari tahun ini, tetapi yang paling penting apabila memenangi separuh akhir ke atas pilihan pertama, Olivia Weaver,” katanya kepada Utusan Malaysia

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan pertama ke atas Weaver merupakan satu usaha terbaik kerana ia memberi semangat dan keyakinan kepada Sivasangari yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini tidak beraksi secara konsisten.

Kata Sharon, Sivasangari tewas selepas mendahului 2-0 ke atas lawannya pada kejohanan besar, tetapi, kali ini mujur dia mengukuhkan strategi dan mentalnya untuk mengejutkan pilihan pertama.

“Selepas itu pada final Sivasangari bermain dengan Amanda, bukan senang sebab Amanda pernah berada dalam kelompok lima terbaik dunia sebelum cedera dan dia juga bermain di hadapan penyokong sendiri, sudah tentu dia hendak menang.

“Tetapi dengan keyakinan dan strategi yang baik serta fokus di dalam gelanggang telah memberi kelebihan kepada Sivasangari,” katanya.

Selain Sivasangari, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow mengekalkan kedudukannya di ranking No. 12 dunia, manakala, Rachel Arnold jatuh satu anak tangga daripada tempat ke-19 kepada ke-20 dunia dan Aira serta Aifa Azman masing-masing di tangga ke-28 serta ke-42 dunia.-UTUSAN