Shah Firdaus tetap turun beraksi di ACC 2025

Sukan

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tetap akan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 biarpun mengalami kecederaan lutut.

Ketua jurulatih skuad negara, Harnizam Basri berkata, biarpun pelumba berusia 29 tahun itu kini masih dalam pemantauan, beliau tetap bersemangat menjalani latihan bagi memastikan prestasi dan intensitinya tidak terjejas.

“Jadi kita dah putuskan dia memang boleh berlumba untuk ACC ini. Cuma kecederaan itu masih dalam pemantauan.

“Lutut dia ada sedikit masalah dan sedikit kerosakan pada patela (tempurung lutut),” katanya ketika dihubungi Utusan malaysia.

Mengulas sasaran skuad negara di kejohanan itu, Harnizam berkata, harapan juga disandarkan kepada beberapa pelumba lain seperti Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Muhammad Ridwan Sahrom dan skuad pecut lelaki serta wanita.

“Kita harapkan Izzah bersama pasukan pecut, baik lelaki mahupun wanita untuk berikan yang terbaik dalam kejohanan ini. Kita akan fokus kepada acara Keirin lelaki, pecut berpasukan lelaki dan wanita serta Keirin wanita dan satu kilometer lelaki dan wanita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Harnizam mengakui cabaran yang bakal dihadapi skuad negara, khususnya daripada Jepun yang sudah dikenali sebagai antara lawan utama.

“Jepun memang antara pesaing utama kita. Selain itu, kita juga perlu berwaspada dengan China kerana mereka hadir dengan barisan pelumba baharu yang kita masih belum ada data tentang bagaimana mereka berlumba,” tambahnya.

Pada edisi ACC 2024 di New Delhi, Malaysia membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa untuk menduduki tangga ketiga keseluruhan di belakang Jepun dan China.

ACC 2025 akan berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan dari 21 hingga 27 Februari ini.- UTUSAN