PETALING JAYA: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui komitmen tinggi yang ditunjukkan para pemainnya menjadi faktor utama skuad Harimau Selatan berjaya menjinakkan Central Coast Mariners di Gosford, Australia.
Lebih manis kemenangan 2-1 yang dicatat JDT pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) itu, dicipta di tempat lawan.
Katanya, kemenangan sulung di gelanggang lawan membuktikan JDT bukan pasukan yang hanya mampu menang di tempat sendiri sahaja.
Bidoglio turut mengakui semangat juang ditunjukkan setiap pemain dan mampu mengatasi tekanan membolehkan mereka meraih tiga mata berharga walaupun lawan menunjukkan disiplin yang tinggi ketika bertahan.
“Amat gembira dengan prestasi pemain yang tahu tanggungjawab mereka dalam perlawanan ini kerana kami meletak sasaran untuk menang dan pemain jelas bersungguh-sungguh bekerja keras untuk mencapai sasaran itu.
“Walaupun kami berdepan pasukan yang sukar untuk ditewaskan tetapi kesabaran pemain dan ketenangan menyusun strategi membuahkan hasil. Pasukan itu bijak menutup ruang dan menyukarkan kami mencipta peluang,” katanya.
Tambah pengendali kelahiran Argentina itu, berkata fokus JDT selepas ini terarah kepada pertembungan terakhir bagi aksi pusingan liga Kumpulan A berdepan Pohang Steelers, Selasa depan di Stadium Sultan Ibrahim.
Jelasnya, aksi berkenaan ibarat perlawanan akhir kerana ia bakal menjadi penentu kepada misi skuad Harimau Selatan untuk berada dalam kelompok lapan terbaik Zom Timur.
“Dengan kemenangan ini, kami harus fokus kepada aksi terakhir menentang kelab dari Korea Selatan yang saya anggap ibarat ‘final’ dalam usaha berada dalam kelompok lapan terbaik Zon Timur,” jelasnya.
JDT kini menghuni tangga kelima selepas mengumpul 11 mata dan dianggap berada di zon selamat untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik dan perlu menang ke atas ke atas Pohang Steelers pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa depan.- UTUSUAN