MRT, Sunway bangunkan hartanah bersepadu RM2.6b di Bukit Chagar

Perniagaan

JOHOR BAHRU: Pembangunan Hartanah Bersepadu di Bukit Chagar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM2.6 bilion bakal menjadi katalis pembangunan pelbagai infrastruktur di selatan tanah air.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek dibangunkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) dengan kerjasama Sunway Integrated Properties Berhad (Sunway Berhad) itu bakal menjadi model bagi pembangunan semula bandar berasaskan transit di seluruh negara pada masa depan.

“Pembangunan hartanah di kawasan itu melibatkan gabungan komponen perumahan, komersial, pusat beli-belah, hospitaliti dan kesihatan.

“Infrastruktur pengangkutan akan menjadi tulang belakang pembangunan semula bandar, mengambil contoh King’s Cross di London dan Lohas Park di Hong Kong, kawasan yang dahulunya terpinggir kini berkembang menjadi bandar moden, dinamik dan berdaya saing.

“Itu matlamat yang hendak dicapai menerusi Pembangunan Hartanah Bersepadu Bukit Chagar yang merupakan manifestasi terhadap misi tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Pembangunan Hartanah Bersepadu di Bukit Chagar antara MRT Corp. dan Sunway Berhad di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Mohd. Zarif Hashim dan Pengerusi Sunway Berhad, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah.

Siew Fook berkata, kerjasama antara MRT Corp. dan Sunway Berhad bakal menjadi bukti bagaimana sektor awam dan swasta boleh berganding bahu membangunkan infrastruktur bertaraf dunia tanpa membebankan kewangan rakyat.

“Pembangunan ini akan dilengkapi kemudahan parkir bertingkat untuk 1,550 kenderaan dan 1,015 tempat letak motosikal, bagi menyokong 700 tempat letak kereta di Coronation Square yang berjarak hanya 400 meter.

“Impak projek ini bukan sahaja terbatas di Bukit Chagar, malah turut membawa kesan jauh lebih mendalam bagi kemajuan Johor secara keseluruhan dengan kerajaan turut bersetuju menaik taraf jalan-jalan utama seperti Jalan Tebrau dan Jalan Tun Razak dengan pembinaan jejambat bertingkat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zarif memberitahu, pembangunan di Bukit Chagar ini akan menjadi pelan contoh bagaimana cara meremajakan sesebuah bandar yang berasaskan hab pengangkutan.

“Pembangunan ini akan mengoptimumkan penggunaan tanah untuk mewujudkan ekosistem mampan berorientasi transit pengangkutan yang memastikan kelestarian jangka panjang pembangunan sambil meningkatkan mobiliti masyarakat,” katanya. – UTUSAN