PETALING JAYA: Skuad lelaki dan perempuan negara mara ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan pencabar masing-masing di peringkat empat terbaik pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia 2025 di Hong Kong, hari ini.
Pada separuh akhir lelaki yang dilangsungkan lebih awal, menyaksikan Malaysia beroleh kemenangan berharga ke atas India 2-1 di gelanggang kaca.
Bagaimanapun, pasukan muda negara cemas seketika apabila perseorangan ketiga, Altamis Aqhar Sallam A. Sufian yang terlebih dahulu masuk ke gelanggang tewas di tangan Yusha Nafees 11-3, 4-11, 6-11, 6-11.
Perseorangan utama Malaysia, Harith Danial Jefri yang turun sejurus selepas itu berjaya mengikat kedudukan menjadi 1-1, selepas membenam Arihant Kalamangalam Sunil 11-7, 11-9, 11-4.
M. Nickhileswar yang menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan ketiga menumpaskan Sandhesh Palanivel Ravikumar 8-11, 11-7, 11-8, 11-7 dan sekali gus memastikan kemenangan 2-1 Malaysia ke atas India.
Pada final, esok, skuad lelaki remaja negara akan bertemu Korea Selatan yang mengalahkan juara bertahan, Pakistan 2-0 dalam satu lagi separuh akhir.
Sementara itu, dalam separuh akhir remaja perempuan, Najwa Zara Mohd Fakhrur Razi yang diletakkan sebagai perseorangan ketiga tidak berdepan masalah menghadiahkan mata pertama Malaysia selepas menundukkan Jacintha Yushan Han 11-0, 11-7, 11-5.
Anrie Goh yang menjadi pertaruhan skuad negara sebagai perseorangan pertama memastikan mata kemenangan Malaysia ke atas Singapura 2-0 setelah menyingkirkan Naisha Singh 11-2, 11-9, 11-1
Pada perlawanan akhir, Malaysia akan berdepan tuan rumah, Hong Kong yang menewaskan India 2-1 dalam satu lagi separuh akhir.
Kejayaan itu bermakna skuad lelaki dan perempuan Malaysia berpeluang melakar kejayaan berganda dengan menyapu bersih dua gelaran remaja Asia, esok. – UTUSAN