Pelabur asing jual RM203.2 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Perniagaan

PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan aliran jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ke-17 berturut-turut, mencatatkan aliran keluar sebanyak RM203.2 juta minggu lalu, menurut MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing adalah penjual bersih pada hari Khamis dan Jumaat, dengan aliran keluar terbesar pada hari Khamis sebanyak RM132.3 juta.

“Pada hari Isnin dan Rabu, terdapat aliran masuk masing-masing sebanyak RM24.6 juta dan RM14.3 juta.

“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih asing adalah pembinaan (RM64.9 juta), produk pengguna dan perkhidmatan (RM38.4 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM17.3 juta).

“Sementara itu, tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi adalah utiliti (-RM151.1 juta), tenaga (-RM103.1 juta), dan penjagaan kesihatan (-RM69.9 juta),” katanya dalam nota penyelidikan.

Sebaliknya, MIDF Research berkata, institusi tempatan terus menyokong bursa tempatan untuk minggu ketujuh belas berturut-turut, dengan pembelian bersih berjumlah RM77.9 juta dalam ekuiti domestik.

“Institusi tempatan membeli bersih pada dua daripada lima hari dagangan minggu lalu, dengan aliran masuk bersih pada hari Khamis dan Jumaat berjumlah RM110.5 juta dan RM70.8 juta masing-masing.

“Pelabur runcit tempatan beralih ke arah penjualan bersih minggu lalu di Bursa Malaysia, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM125.3 juta dalam ekuiti, menjadikan lima minggu pembelian bersih setakat ini dalam tahun kewangan 2025.

Jelas firma penyelidikan itu, Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan di seluruh sektor minggu lalu.

“Pelabur asing mencatatkan peningkatan sebanyak +9.5 peratus, manakala institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan juga mencatatkan lonjakan masing-masing sebanyak +9.9 peratus dan +7.0 peratus,” katanya. – UTUSAN