GEORGE TOWN : DAPSY Batu Kawan mengecam tindakan biadab seorang pembantu khas kepada pemimpin utama parti yang secara terbuka menghina dan menyerang Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong, dalam satu majlis rasmi parti beberapa hari lalu di sini.
Ketuanya, S.Liinesh berkata, tindakan itu bukan sahaja mencemarkan imej parti, malah, turut merosakkan integriti serta prinsip perjuangan DAP yang berteraskan demokrasi, disiplin dan keadilan.
Sehubungan itu juga katanya, DAPSY Batu Kawan menuntut tindakan tegas diambil bagi memastikan insiden sedemikian tidak lagi berulang.
“Kami berdiri teguh di belakang kepimpinan Steven Sim yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam membela rakyat serta memperkukuh kedudukan parti.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kesatuan dan keharmonian parti,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang penyokong kuat kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng secara terbuka memarahi Steven Sim dalam bahasa Hokkien pada majlis makan malam di Pulau Pinang, pada Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Liinesh yang juga Naib Ketua DAPSY Kebangsaan berkata, pihaknya turut menuntut agar tindakan disiplin segera dikenakan terhadap individu terbabit kerana melanggar etika serta disiplin parti.
“Tindakan menyerang kepimpinan negeri secara terbuka adalah tidak beretika dan bertentangan dengan prinsip perjuangan parti,” katanya yang turut menggesa ahli parti supaya menghentikan segala bentuk keganasan dan penghinaan terhadap kepimpinan.
Tambah beliau, pihaknya mahukan suasana politik yang sihat dan berdaya saing dan bukannya budaya politik samseng yang hanya merosakkan imej serta matlamat perjuangan parti itu.
“Ahli DAP perlu memelihara keutuhan serta keharmonian sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kebebasan dan hak asasi manusia. Justeru, segala bentuk serangan yang mencerminkan budaya politik kotor harus dihentikan,” katanya.-UTUSAN