PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengeluarkan Garis Panduan Sandbox Pengawalseliaan (Regulatory Sandbox) yang memperincikan kriteria kelayakan dan keperluan penyertaan.
Sandbox pengawalselian tersebut yang diumumkan semasa Sidang Kemuncak Fintech SCxSC tahun lepas adalah alat kawal selia yang mempertingkatkan dasar dan memastikan ia sesuai dengan menyediakan persekitaran terkawal untuk entiti menguji produk atau perkhidmatan pasaran modal yang inovatif.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, sandbox tersebut memudahkan inovasi yang bertanggungjawab dalam pasaran modal di samping memastikan perlindungan pelabur yang teguh.
“Dengan memperkasakan pemain industri untuk bereksperimen dengan idea inovatif, sandbox mencerminkan visi kami untuk membina pasaran modal yang dinamik, inklusif dan sedia masa hadapan.
Ia juga memupuk kerjasama merentas ekosistem, lalu memastikan kemajuan sejajar dengan perlindungan pelabur,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kriteria kelayakan untuk sandbox termasuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan pasaran modal yang belum tersedia di Malaysia pada masa ini dan tidak padan sepenuhnya dengan mana-mana rangka kerja SC sedia ada
Selain itu, turut termasuk adalah menunjukkan cadangan nilai yang jelas kepada pasaran modal Malaysia dan mengemukakan rancangan ujian komprehensif, hasil yang dijangkakan dan langkah penggulungan
“Menunjukkan sumber yang mencukupi termasuk manusia, kewangan dan operasi, menampilkan rancangan perniagaan yang realistik untuk pengkomersilan pasca ujian dan memiliki infrastruktur yang diperlukan, tadbir urus dan prototaip berfungsi sepenuhnya untuk memulakan ujian,” ujarnya.
SC berkata, produk dan penyelesaian yang memberi tumpuan kepada keterangkuman kewangan, kewangan Islam atau penyelesaian persaraan adalah amat digalakkan.
Jelasnya, permohonan untuk sandbox akan dibuka dari 15 April hingga 31 Mei 2025 dan pemohon akan dimaklumkan dalam tempoh 30 hari selepas penyerahan jika mereka maju ke peringkat penilaian.
“Peringkat penilaian dianggarkan mengambil masa dua bulan, tertakluk kepada kerumitan permohonan yang diterima, di mana selepas itu calon yang berjaya akan dimaklumkan mengenai penyertaan mereka dalam sandbox.
“SC menggalakkan pihak yang berminat untuk menghubungi [email protected] untuk sesi pra perundingan.
“Garis Panduan Regulatory Sandbox, borang permohonan dan butiran lain boleh didapati di katanya. – UTUSAN