KUALA LUMPUR: Sarawak menikmati peruntukan lebih RM250 bilion hasil pembangunan industri pembangunan industri minyak dan gas di wilayah tersebut sejak 49 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, manfaat dari industri minyak dan gas Sarawak merangkumi pelaburan huluan dan infrastruktur yang sudah mencecah lebih RM250 bilion sejak 1976.
Menurut beliau, daripada jumlah pelaburan huluan itu dianggarkan lebih RM90 bilion nilai kontrak dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun lalu iaitu dari antara 2014 hingga tahun lalu.
Jelasnya, syarikat vendor berdaftar dari Sarawak turut memperolehi kontrak melebihi RM40 bilion bagi tempoh sama.
“Daripada segi pulangan kewangan, Sarawak telah memperolehi bayaran tunai sebanyak RM49 bilion sehingga Disember lalu (dan) Bayaran Cukai Jualan sebanyak RM18.66 bilion, hingga suku ketiga 2024.
“Dividen sebanyak RM28.6 bilion sehingga Disember lalu telah diperolehi melalui pegangan saham ‘State Financial Secretary of Sarawak’ (SFS) dalam Syarikat Kumpulan MLNG. SFS adalah syarikat diperbadankan di bawah ‘State Financial Secretary (Incorporation) Ordinance, 1948,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan mengenai aktiviti petroleum di Sarawak di persidangan ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) juga sudah menyumbang secara langsung kepada usaha pembangunan modal insan warga Sarawak.
Jelasnya, lebih RM600 juta sudah dibelanjakan bagi pelbagai usaha pendidikan dan pembangunan modal insan, manakala lebih 680,000 warga Sarawak mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa selain program latihan untuk warga pendidik sepanjang 10 tahun lalu.
“Seramai 4,300 warga Sarawak mendapat peluang pekerjaan dalam Petronas,” katanya.
Menteri Kewangan itu turut mengingatkan hasil besar diraih selama ini oleh negara sehingga dapat menjadikan dana Petronas sebagai dana utama di peringkat awal pembentukan negara dan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
“Ini semua berkat Sarawak dan kerjasama erat dan akrab kerajaan negeri dan Persekutuan. Maka sebab itulah kita memilih untuk memberi sedikit penyesuaian dan pengiktirafan kepada peranan Petros untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana muafakat ini terus dikekalkan malah ditambah mantapkan buat menjamin kesejahteraan negara dan Sarawak,” jelasnya.