Malaysia terima baik keputusan Mahkamah Sepanyol sahkan keputusan batal pelantikan Stampa kes tuntutan Sulu

Politik

PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Sepanyol yang mengesahkan keputusannya pada tiga tahun lalu yang membatalkan pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara sekali gus menolak cubaan pihak penuntut Sulu untuk membatalkan keputusan tersebut.

Dalam kenyataan Sekretariat Khas Menangani Isu Tuntutan Pihak yang mendakwa Waris Kesultanan Sulu, pengesahan keputusan di Mahkamah Tinggi Madrid pada 14 Februari lalu itu  membuktikan ketegasan dasar Kerajaan Madani untuk mempertahankan Malaysia di setiap Mahkamah dan bidang kuasa.

Katanya, langkah ini dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada bagi memastikan kes penipuan pihak penuntut Sulu ini ditamatkan serta memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan, dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi.

“Keputusan ini menegaskan bahawa permohonan pihak penuntut Sulu adalah tidak berasas kerana ia hanya berdasarkan pendapat dan spekulasi dalam satu artikel akhbar dan bukan bukti sebenar.

“Mahkamah Tinggi Madrid juga secara jelas menyatakan bahawa badan kehakimannya tidak pernah menerima tekanan atau membenarkan diri mereka untuk ditekan dalam apa cara sekalipun.

“Keputusan untuk membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara adalah berasaskan alasan perundangan yang telah dinyatakan dalam keputusan bertarikh 29 Jun 2021 tersebut yang merupakan keputusan muktamad dan mengikat,” katanya hari ini.

War Room Sekretariat Khas bagi pihak Kerajaan Malaysia itu berkata, pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Madrid mengeluarkan keputusan bahawa notis dalam prosiding pelantikan penimbang tara di Sepanyol yang dihantar kepada Kerajaan Malaysia adalah tidak mengikut undang-undang Sepanyol yang terpakai bagi penghantaran notis kepada sebagai sebuah negara asing yang berdaulat.

Oleh itu, Mahkamah Tinggi Madrid membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara serta semua tindakan yang diambil olehnya dalam kes tuntutan pihak penuntut Sulu dan mengarahkan Kerajaan Malaysia diberi notis sewajarnya serta prosiding pelantikan penimbang tara yang baharu dimulakan.

Jelasnya, pembatalan pelantikan ini kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Sepanyol selepas rayuan perlembagaan pihak penuntut Sulu gagal dan keputusan tersebut adalah muktamad dan mengikat pihak penuntut Sulu.

“Selepas keputusan pembatalan pelantikan pada 29 Jun 2021 tersebut, Mahkamah Tinggi Madrid telah mengeluarkan beberapa arahan kepada Stampa untuk segera menamatkan prosiding timbang tara bagi kes tuntutan tersebut.

“Namun, Stampa tidak mengendahkan arahan Mahkamah Tinggi Sepanyol iaitu Mahkamah yang telah melantik dan kemudiannya membatalkan pelantikannya.

Dalam hal ini, Stampa telah menerima bayaran lebih daripada AS$2.7 juta daripada pihak penuntut Sulu, yang dibiayai oleh pihak ketiga iaitu Therium, syarikat pembiayaan litigasi berpangkalan di London,” katanya.

Mengulas lanjut, Sekretariat itu menjelaskan, setelah mengingkari arahan Mahkamah Tinggi Madrid, Stampa menukar lokasi timbang tara daripada Madrid ke Paris atas permintaan pihak penuntut Sulu supaya prosiding timbang tara tidak berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sepanyol.

Akibatnya, Stampa telah didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah Sepanyol atas kesalahan mengingkari perintah Mahkamah.

Seterusnya pada Disember 2023, pihak penuntut Sulu telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Madrid untuk membatalkan keputusan bertarikh 29 Jun 2021 tersebut dengan hanya bersandarkan kepada satu artikel akhbar yang mendakwa bahawa Kementerian Luar Negeri Sepanyol telah memberi tekanan politik terhadap Mahkamah atas sebab kepentingan ekonomi antara Kerajaan Sepanyol dan Kerajaan Malaysia.

“Kerajaan Malaysia telah menentang permohonan ini kerana ia sama sekali tidak berasas.

“Kini, Mahkamah Tinggi Madrid telah mengeluarkan keputusan bertarikh 11 Februari 2025 yang menolak sepenuhnya permohonan pembatalan keputusan 29 Jun 2021 tersebut dan mengarahkan pihak penuntut Sulu agar menanggung kos prosiding permohonan tersebut,” katanya. – UTUSAN