PETALING JAYA: Pemaju hartanah Eco World Development Group Bhd. (EcoWorld Malaysia) menjual satu lagi lot tanah industri berkeluasan 342.32 hektar dalam pembangunan Eco Business Park I di Iskandar Malaysia, Johor kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan harga tunai RM693.96 juta.
Ini susulan penjualan tanah industri seluas 304.28 hektar dalam Eco Business Park VI di Iskandar Malaysia kepada Microsoft pada Jun tahun lalu dengan harga RM402.3 juta untuk pembangunan dan operasi pusat data syarikat tersebut.
EcoWorld Malaysia berkata, penjualan tanah itu menunjukkan daya tarikan berterusan Johor dan Malaysia sebagai hab bagi pengendali pusat data berskala besar (hyperscale), selain membuktikan kesesuaian taman industri syarikat sebagai lokasi ideal untuk operasi teknologi tinggi.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, EcoWorld Malaysia memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Eco Business Park 1 Sdn. Bhd., telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan Microsoft bagi penjualan tanah tersebut. Tanah tersebut merangkumi 117 lot tanah, dan Microsoft terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pusat data.
“Tanah ini merupakan sebahagian daripada tanah seluas 612 ekar dalam Eco Business Park I.
“Hak pembangunan tanah ini diperoleh oleh Eco Business Park 1 daripada anak syarikat lain EcoWorld, Eco Business Park 1 Development Sdn Bhd, dengan harga RM597.7 juta pada April 2014.
“Daripada jumlah hasil penjualan sebanyak RM693.9 juta, sebahagian daripadanya akan digunakan untuk menyiapkan pembangunan infrastruktur utama yang masih berbaki di tanah tersebut dan menampung perbelanjaan berkaitan transaksi.
“Ini dijangka diselesaikan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh SPA. Buat masa ini, jumlah khusus bagi setiap peruntukan masih belum dimuktamadkan, katanya.
Baki daripada hasil jualan akan digunakan sebagai modal kerja.
Jelasnya, segmen industri syarikat telah berkembang pesat dalam tempoh empat tahun lalu, dengan jualan tahunan melebihi RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 dan tahun kewangan 2024.
“Kejayaan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh strategi tiga cabang yang diterapkan oleh kumpulan, yang membolehkannya menawarkan pelbagai produk dalam dua segmen hasil industri yang besar.
“Ini membolehkan EcoWorld memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana tempatan, industri yang lebih besar serta pemain antarabangsa terkenal,” ujarnya.
EcoWorld Malaysia berkata, penjualan tanah terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan tanah yang dijual kepada pengendali pusat data dalam tempoh kurang daripada setahun mencecah RM1.3 bilion.
“Penyelesaian jualan tanah ini akan meningkatkan rizab tunai kumpulan, termasuk dana jangka pendek, yang berjumlah RM1.36 bilion setakat 31 Oktober 2024.
“Oleh itu, EcoWorld Malaysia berada dalam kedudukan kukuh bukan sahaja untuk memperluaskan pegangan tanahnya, tetapi juga untuk meneroka peluang strategik dalam mengembangkan portfolio aset berpendapatan berulang dalam sektor komersial dan atau industri.
“Ini bertujuan membentuk asas pendapatan yang stabil dan besar untuk menjana aliran tunai dan keuntungan masa depan, sekali gus melengkapi pendapatan daripada jualan hartanah pembangunan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keuntungan sebenar daripada penjualan tanah ini belum dapat ditentukan buat masa ini kerana ia bergantung kepada kos pembangunan sebenar yang ditanggung sehingga transaksi selesai.
“Namun, setelah penjualan ini diselesaikan, ia dijangka meningkatkan aset bersih dan mengurangkan tahap hutang kumpulan, memandangkan lebihan tunai selepas perbelanjaan infrastruktur dan kos berkaitan.
“Walau bagaimanapun, penyelesaian jualan ini tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan. Sekiranya tiada halangan, transaksi ini dijangka selesai dalam separuh pertama 2026,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Maybank Investment Bank menyatakan bahawa pihaknya percaya EcoWorld Malaysia sedang giat berbincang dengan pengendali pusat data bagi projek di taman perniagaannya di Lembah Klang dan Johor.
Firma penyelidikan itu menjangkakan EcoWorld Malaysia berpotensi memperoleh satu atau dua lagi perjanjian pusat data.
Saham EcoWorld Malaysia ditutup rendah lapan sen atau 4.17 peratus kepada RM1.84 pada Isnin, memberikan syarikat itu modal pasaran sebanyak RM5.45 bilion. Sejak awal tahun, harga sahamnya telah susut sebanyak 14.02 peratus. – UTUSAN