HLAM agih pendapatan RM241j untuk tujuh dana

Perniagaan

PETALING JAYA: Hong Leong Asset Management Bhd (HLAM) mengisytiharkan pengagihan pendapatan berjumlah RM241 juta untuk tujuh dananya bagi tempoh bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif HLAM, Chue Kwok Yan berkata, pihaknya berbesar hati mengisytiharkan pembayaran agihan sebanyak RM241 juta untuk tujuh dana kepada pelaburnya walaupun berdepan landskap ekonomi global yang mencabar.

“Walaupun keadaan pasaran kekal tidak menentu, HLAM kekal komited untuk menyampaikan hasil pengagihan yang mampan kepada pelabur kami.

“Strategi pelaburan kami pada 2025 akan kekal berpaksikan dalam perspektif jangka panjang.

“Kami akan terus mengutamakan syarikat yang mempunyai asas yang kukuh dan potensi pertumbuhan sambil kami memberi tumpuan untuk memberikan pulangan yang mampan untuk pelabur kami,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, tujuh dana tersebut terdiri daripada lima dana konvensional iaitu Hong Leong Value Fund dengan pengagaihan sebanyak 8.55 peratus, Hong Leong Dividend Fund (7.10 peratus), Hong Leong Growth Fund (7.55 peratus), Hong Leong SEA-5 Equity Class A Fund (6.51 peratus) dan Hong Leong Balanced Fund (5.29 peratus)

Sementara itu, dua dana Islamik pula adalah Hong Leong Dana Makmur (5.10 peratus) dan Hong Leong Dana Maa’rof (4.29 peratus).

Dana itu diagihkan melalui pejabat HLAM dan cawangan Hong Leong Bank Berhad di seluruh negara, manakala dana terpilih juga diagihkan melalui pasukan agensi HLAM di seluruh negara dan secara digital melalui HL iSmart Invest. – UTUSAN