KUALA LUMPUR: TechStore Berhad, penyedia perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT) perusahaan membuat penampilan sulung di pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 25.5 sen sesaham, premium 27.5 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 20 sen sesaham.
TechStore berjaya mengumpul RM25 juta daripada IPO dan merancang untuk menggunakan RM11.5 juta bagi keperluan modal kerja serta RM2.7 juta untuk pengambilan kakitangan pembangunan perniagaan.
Selain itu, sebanyak RM2.3 juta turut diperuntukkan untuk perbelanjaan modal meliputi peralatan, komputer dan perkakasan, serta perisian IT, termasuk pembukaan cawangan baharu di Johor Bahru.
Pengarah Urusan TechStore, Eugene Tan Hock Lin berkata, kejayaan penyenaraian bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri teknologi tempatan tetapi juga membuka peluang untuk pertumbuhan strategik jangka panjang.
“Dengan dana yang diperoleh, kami dapat memperluaskan operasi, menambah baik infrastruktur serta terus menyediakan penyelesaian IT yang inovatif kepada pelanggan kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyenaraian TechStore di Pasaran ACE, di sini semalam.
Dalam keputusan suku keempat yang belum diaudit bagi tempoh berakhir 31 Disember 2024, TechStore mencatatkan hasil sebanyak RM23.5 juta dengan keuntungan bersih RM2.8 juta, termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM0.2 juta.
Bagi prestasi kewangan sepanjang tahun, syarikat merekodkan hasil sebanyak RM62.3 juta dengan keuntungan bersih RM6.3 juta, termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM0.9 juta yang ditanggung sepanjang tahun.
Mengulas mengenai rancangan pengembangan syarikat, Eugene berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum meneroka peluang di peringkat antarabangsa.
“Ketika ini, fokus utama kami adalah untuk membina asas yang kukuh di Malaysia sebelum melangkah lebih jauh.
“Kami percaya penubuhan cawangan baharu di Johor Bahru adalah langkah awal yang penting dan boleh menjadi pintu masuk untuk pengembangan ke luar negara pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN