Kamil ambil kira sokongan akar umbi sebelum bertanding

Politik

PETALING JAYA: Muhammad Kamil Abdul Munim akan mengambil kira sokongan dan dukungan akar umbi sebelum memutuskan untuk bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Timbalan Ketua AMK itu berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan tersebut dengan penuh cermat dan teliti.

“Faktor utama yang menjadi penentu untuk bertanding atau sebaliknya adalah kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan sayap Pemuda yang hanya dapat tercapai melalui sokongan padu dan dukungan kuat daripada akar umbi.

“Beberapa pimpinan AMK negeri telah menyatakan sokongan dan saya amat hargai dukungan mereka. Oleh sebab itu, saya akan pertimbangkan dengan penuh cermat dan teliti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menyokong penuh dan bersetuju supaya Muhammad Kamil memimpin sayap itu.

Ia susulan Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) susulan penggalnya tamat, tahun ini.

Kata Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan, beliau akan memperkemaskan serta memperkukuhkan struktur organisasi AMK bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang jika dipilih menjadi ketua.

“Kegiatan perlu diperbanyakkan lagi dan merangka strategi bagi menarik kelompok muda dan belia.

“Politik harus didasari dengan pendidikan dan pencerahan. Politik sebagai alat melakukan perubahan minda masyarakat bukan sebagai alat yang memecahkan kelompok belia dan golongan muda,” katanya. – UTUSAN